Penonton merusuh, Drogba cemas selamatkan diri

ISTANBUL – Ratusan peminat bola sepak Turki merusuh dan membanjiri padang di Stadium Olympic selepas pertarungan di antara dua musuh tradisi, Besiktas menentang Galatasaray bertukar tegang, semalam.

Kekecohan bermula selepas pemain tengah Galatasaray, Felipe Melo melakukan terjahan keras menggunakan kedua-dua kakinya ke atas pemain tuan rumah pada masa kecederaan.

Melo dilayangkan merah akibat perbuatannya itu dan ketika dia sedang berjalan menuju ke bilik persalinan, penyokong Besiktas bertindak ganas membaling botol ke arahnya.

Keadaan menjadi tidak terkawal apabila penonton kemudian bertindak menyerbu ke tengah padang.

Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan peminat. Pemain kedua-dua pasukan yang terkejut kemudian bergegas ke bilik persalinan untuk menyelamatkan diri, termasuk bintang penyerang Ivory Coast, Didier Drogba.

Drogba sebelum itu meledak dua gol untuk meletakkan Galatasaray mendahului 2-1 ketika permainan disambung kepada tiga minit masa kecederaan.

Dalam perlawanan tersebut, Besiktas bermula baik dan menguasai awal permainan. Bek kanan mereka, Serdar Kurtulus melakukan hantaran silang cantik kepada Hugo Almeida, yang menyempurnakannya untuk tuan rumah mendahului 1-0 pada minit ke-18.

Pasukan pelawat bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-59 selepas Kurtulus melakukan kesilapan defensif untuk membolehkan Drogba meledak gol Galatasaray.

Bekas bintang Chelsea itu sekali lagi menghukum kesilapan pertahanan Besiktas, Veli Kavlak apabila menerima hantaran Burak Yilmaz dan menyumbat gol kedua pasukannya.

Peraturan Persekutuan Bola Sepak Turki (TFF) menyebut, sekiranya perlawanan dihentikan akibat rusuhan dalam padang, badan disiplin mereka boleh memutuskan untuk memberi kemenangan 3-0 kepada lawan. – AGENSI
 

2 Replies to “Penonton merusuh, Drogba cemas selamatkan diri”

Comments are closed.