Pelajar hilang takut PMR ditemui

Petaling Jaya: Ayza Nazira Zulfazli, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman yang hilang dari kediamannya di sebuah kondominium di Damansara Perdana di sini sejak Sabtu lalu, ditemui lesu dalam sebuah tandas, kira-kira 500 meter dari rumahnya malam tadi.

Dia yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu depan ditemui oleh orang awam dalam tandas Pasaraya Jaya pada jam 9 malam.

Hilang ketika ibu bapa bekerja

Orang awam yang menemuinya menghubungi emak saudara Ayza yang kemudian dimaklumkan kepada ibu bapanya yang ketika itu sedang mencarinya di sekitar Petaling Jaya.

Ayza didapati hilang dari rumahnya di Kondominium Damansara Ekslusif, Damansara Perdana antara jam 2.45 petang dan 10 malam Sabtu lalu ketika ibu bapanya keluar ke Shah Alam kerana urusan kerja, manakala kakaknya, Alya Suraya ke perpustakaan.

Sebelum ini, ibunya Rosziana Mohamed, 47, merayu anak bongsunya itu pulang ke pangkuan keluarga kerana bimbang akan keselamatan anaknya itu.
Beliau berkata, dua hari sebelum hilang, Ayza Nazira atau lebih mesra dengan panggilan adik itu yang juga anak bongsu daripada tiga beradik ada menemuinya menyatakan kebimbangan untuk menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dijadualkan 2 Oktober hingga 8 Oktober depan.