Pahang menang tipis

PAHANG memilih laluan penuh berliku apabila sekadar menang tipis 3-2 ke atas Selangor PKNS dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Tuan rumah terlebih dulu membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi penyerang import, Matias Conti yang bijak menyempurnakan hantaran Azidan Sarudin.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad pelawat mula mengatur gerakan sebelum Patrick Ronaldinho berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36.

Kelekaan skuad Tok Gajah sekali lagi dihukum apabila PKNS berjaya menggandakan kelebihan menerusi jaringan Mohd. Lot Abu Hassan seminit kemudian.

Bagaimanapun, sorakan lebih 30,000 penyokong tuan rumah kembali bergema apabila Conti bijak menyempurnakan hantaran D. Surendran pada minit ke-49.

Gol kemenangan Pahang akhirnya hadir pada minit ke-57 apabila Conti melengkapkan hatrik selepas menyambut bola muntah yang gagal ditangkap kemas penjaga gol PKNS, Mohd. Remezy Che Ros.

Namun, pengendali Pahang, Dollah Salleh enggan anak-anak buahnya berasa selesa memandangkan PKNS kini memiliki dua gol di tempat lawan.

“Kami belum boleh meraikan kemenangan ini kerana masih ada 90 minit aksi di Shah Alam.

“Apa-apa pun, saya memuji kebangkitan pemain yang mampu bangkit meskipun terlebih dahulu ketinggalan pada babak pertama.

“Saya harap corak permainan pasukan terutamanya di bahagian benteng pertahanan mampu diperkemaskan ketika aksi kedua di Shah Alam nanti,” katanya.

Kedua-dua pasukan bakal berentap dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam pada 4 Oktober depan.