Ozil pilih Arsenal disebabkan Bale

BERLIN – Pemain baharu Arsenal, Mesut Ozil mengakui bahawa dia tidak berniat meninggalkan Real Madrid walaupun menyedari diketepikan.

Ozil melihat Gareth Bale melengkapkan perpindahannya dari Tottenham Hotspur ke Santiago Bernabeu, Isnin lalu sebelum bersetuju berpindah ke Stadium Emirates dengan bayaran dilaporkan £42.4 juta (RM217.71 juta).

Pemain tengah Jerman itu berkata dalam satu temu bual dengan laman rasmi Persatuan Bola Sepak Jerman, www.dfb.de, bahawa dia bersetuju dengan perpindahan itu selepas jelas dia tidak lagi berada dalam perancangan jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti.

“Ketika ini saya pasti bahawa saya akan kekal di Real Madrid, tetapi selepas itu saya menyedari bahawa jurulatih dan lembaga tidak lagi menaruh keyakinan pada saya.

“Saya seorang pemain yang perlukan keyakinan itu dan peluang muncul untuk ke Arsenal yang menjadikan sebab saya pilih ke sana,” katanya.

Kini dia gembira untuk bergandingan dengan rakan sepasukan Jerman seperti Per Mertesacker dan Lukas Podolski di samping bekerja dengan pengurus Arsenal yang boleh berbahasa Jerman, Arsene Wenger.

“Arsene Wenger menunjukkan keyakinan kepada saya dan kini saya bakal mampu terus maju sebagai seorang pemain. Saya mahu berada pada prestasi terbaik bagi Piala Dunia.

“Saya bercakap lama dengannya menerusi telefon dan dia menjelaskan kepada saya pendapatnya tentang bola sepak patut dimainkan.

“Semula jadinya, saya gembira kini mampu bermain dengan Podolski dan Mertesacker. Saya benar-benar berpuas hati dengan cabaran baharu ini, saya sudah pun tahu bahawa mereka memiliki penyokong yang hebat, bahawa stadium itu luar biasa dan pasukan itu bertaraf tinggi,” kata bekas pemain Schalke 04 dan Werder Bremen berusia 24 tahun itu.

Ozil ketika ini bersama skuad Jerman yang bersedia bagi dua perlawanan besar kelayakan Piala Dunia dengan Austria, esok di Munich dan Kepulauan Faroe di tempat lawan, Selasa depan.

Penampilan sulung bersama Arsenal mungkin tiba dalam perlawanan Liga Perdana berikutnya, di Sunderland pada 14 September ini. – AFP