Nicol juara Skuasy Terbuka Malaysia

SELEPAS skuad Harimau Malaya meraikan kemenangan dengan menewaskan Myanmar pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013 di bumi Kuantan, Pahang malam kelmarin, semalam giliran ratu skuasy negara, Datuk Nicol David pula memberi hadiah istimewa sempena Hari Malaysia yang disambut hari ini.

Pada aksi akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia-CIMB 2013 semalam, Nicol berjaya merampas kembali gelaran juara dengan menewaskan juara bertahan dari Mesir, Raneem El Weleily.

Seperti yang dijangka, saingan final yang diadakan di gelanggang kaca The Curve Mutiara Damansara itu berlangsung dalam suasana sengit meskipun Nicol berjaya mencatat kemenangan straight set 11-8, 11-7, 11-6.

“Ia kemenangan yang sangat istimewa terutama apabila berjaya membawa pulang semula trofi kemenangan ke Malaysia dengan disaksikan oleh peminat tanah air.

“Saya akui, saingan hari ini (semalam) sangat sengit kerana kita tahu, Raneem merupakan seorang pemain yang hebat. Biarpun ada kesilapan yang dilakukan, dia tetap memberi cabaran sehingga memaksa saya beraksi pada tahap maksimum.

“Saya percaya, ia adalah perlawanan paling menarik dan luar biasa bagi saya sepanjang musim ini. Saya gembira dan berharap dapat bertemu dengannya sekali lagi di pentas akhir pada tahun depan,” katanya yang meraih gelaran juara kelapan selepas menamatkan saingan dalam tempoh 34 minit.

Dengan kemenangan tersebut, Nicol membawa pulang hadiah wang tunai AS$10,200 (RM33,558).