Negeri Sembilan tawan Kota Bharu

Juara bertahan Kelantan menerima kejutan selepas kalah 3-2 kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Kemenangan kedua yang diraih Negeri Sembilan membolehkan mereka merampas kedudukan teratas kumpulan dari Pahang menerusi kutipan tujuh mata berbanding Kelantan, lima mata dengan saingan kumpulan berbaki dua perlawanan.

Dua gol skuad ‘The Red Warriors’ pada perlawanan itu dijaringkan oleh Indra utra Mahayuddin pada minit ke-37 dan Ahmad Fakri Saarani (48′) manakala tiga ol pelawat terhasil menerusi jaringan S.Sivanesan (12′) dan Fabio Leandro Barbosa (57′ dan 77′).

Satu lagi wakil dalam kumpulan C, Terengganu pula menghidupkan peluang ke suku akhir selepas menundukkan jiran mereka, Pahang menerusi kemenangan tipis 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dua gol skuad Penyu dijaringkan oleh Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-63 dan Khairul Ramadhan Zauwawi pada masa kecederaan separuh masa kedua manakala gol tunggal pelawat dihasilkan oleh Azamuddin Mohd Akil pada minit ke-68.

Dalam saingan kumpulan B, pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) dimalukan diaibkan oleh T-Team 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha meletakkan skuad Harimau Selatan di hadapan pada minit ke-43 sebelum Abdul Latiff Suhaimi dan George Boateng masing-masing menyumbang gol T-Team pada minit ke-81 dan pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Felda United FC pula meraih kemenangan sulung selepas empat perlawanan hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Selangor PKNS FC di Stadium Mini, Temerloh, Pahang dalam satu lagi aksi kumpulan B.

Penyerang import ‘The Settlers’, Emmanuel Mazowa menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-40.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mencerahkan peluang ke suku akhir selepas menumpaskan Johor FA 4-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dalam saingan kumpulan A.

Empat gol skuad ‘The Gladiators’ dijaringkan oleh Bruno Sebastian Martelotto (40′ dan 90+1′), Marlon Alex James (77′) dan Venice Elphi (81′) manakala gol tunggal pasukan selatan tanah air itu dijaringkan oleh Mohd Alif Yusof pada minit ke-88.

Sementara itu, Selangor hampir pasti tersingkir daripada kempen Piala Malaysia musim ini selepas hanya sekadar terikat 1-1 menentang Sime Darby FC di Stadium Shah Alam, dalam saingan kumpulan A.

Penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe meletakkan skuad Gergasi Merah di depan pada minit terakhir separuh masa pertama sebelum Karlo Primorac menyamakan kedudukan untuk Sime Darby FC pada minit ke-78.

ATM v Johor

JDT v T-Team

Terengganu v Pahang

Felda v PKNS

Kelantan v N.Sembilan