Miller mahu latih Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Jika sebelum ini ia hanya spekulasi, kini bekas jurulatih kelab Inggeris Liverpool Alex Miller tampil menyatakan secara terbuka hasratnya untuk membimbing skuad Harimau Malaya.

Beliau percaya pengalaman luas dimiliki bakal membantunya melonjakkan skuad Harimau Malaya ke peringkat lebih tinggi jika beliau diberi kepercayaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengisi tempat Datuk K Rajagobal.

Sepanjang berada di Anfield pada 2005 hingga 2008, Miller bekerjasama dengan dua pengurus ternama iaitu Gerard Houllier dan Rafa Benitez dan pengalamannya di benua Asia sebagai pemain dan jurulatih juga turut memberi kelebihan untuk mudah memahami pemain negara ini.

Selain The Reds, pengendali kelahiran Scotland berusia 64 tahun itu turut memiliki pengalaman melatih pasukan Liga Divisyen Satu Jepun, JEF United Chiba.

Ketika jadi pembantu di Liverpool

“Memang saya lebih banyak bekerja di Eropah tapi benua Asia bukan asing kepada saya kerana pernah beraksi dalam tempoh singkat di Hong Kong selain menjadi jurulatih Liga Jepun. Saya memahami budaya Timur dan faktor ini paling penting kepada kebanyakan pemain Asia,” katanya yang kini dikaitkan antara calon popular untuk mengisi kerusi panas skuad kebangsaan itu.

“Saya yakin dengan kemampuan, pengalaman dan ilmu yang ada, saya berusaha untuk menaikkan lagi imej pasukan kebangsaan Malaysia (Harimau Malaya) pada kedudukan ranking FIFA,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Miller, kejayaan beliau menjulang trofi Liga Juara-Juara 2005 bersama Liverpool dan menjadi watak penting membawa Scotland ke pentas Euro serta Piala Dunia memberikannya lebih motivasi untuk membimbing Harimau Malaya.

“Sebagai jurulatih berpengalaman, saya memiliki pengetahuan yang cukup meluas mengenai soal taktikal, teknikal dan fizikal dalam sukan bola sepak di tahap tertinggi ketika bersama Liverpool.

“Malah, saya juga pernah terbabit secara langsung dengan bola sepak peringkat antarabangsa semasa saya menjadi Penolong Pengurus Scotland yang merupakan kali terakhir layak ke Kejohanan Eropah 1996 dan Piala Dunia 1998,” katanya.

Selain Miller, bekas pengendali Jepun, Phillippe Trouisser dan legenda Jerman, Rudi Voller turut dikaitkan sebagai pengganti Rajagobal yang kontraknya akan tamat pada 31 Disember depan.

FAM mula menerima banyak permohonan daripada jurulatih luar negara dan tempatan selepas Jawatankuasa Teknikal badan induk itu mengumumkan bersedia membuka pintu kepada mana-mana jurulatih berminat untuk mengendalikan skuad kebangsaan.