Microsoft ambil alih Nokia

Helsinki: Nokia Corporation, pengeluar telefon mudah alih Finland, akan menjual perniagaan telefon mudah alih kepada gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), Microsoft Corporation, menerusi satu urus niaga bernilai AS$7.17 bilion (RM23.46 bilion).

Nokia akan menyerahkan lesen bukan eksklusif patennya bertempoh 10 tahun kepada Microsoft manakala syarikat itu pula akan memfokuskan kepada teras perniagaan rangkaian infrastruktur dan perkhidmatan yang mana kini disebut-sebut sebagai “hala tuju terbaik bagi Nokia dan pemegang sahamnya.”

Syarikat itu juga mengumumkan pemberhentian Ketua Eksekutifnya, Stephen Elop.

Buat masa ini, tanggungjawab Elop itu akan dipikul buat sementara oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Nokia, Risto Siilasmaa.

Nokia yang pernah menerajui industri pembuatan telefon mudah alih kini tenggelam dalam persaingan pesaingnya Samsung dan Apple ketika kumpulan itu bergelut membangunkan kembali model perniagaan dan peranti mudahnya.

Urus niaga itu diumumkan semalam dijangka akan selesai pada suku pertama 2014, bergantung kepada kelulusan pemegang saham Nokia dan pihak berkuasanya.

Seramai 32,000 pekerja Nokia dijangka akan ditukarkan ke Microsoft, termasuk 4,700 pekerja di Finland, kata syarikat itu dalam satu kenyataannya.

Operasi yang terjejas disebabkan pemindahan itu menjana 14.9 bilion euro pada 2012, atau hampir 50 peratus daripada jualan bersih Nokia, kata syarikat itu.

Harga pembelian keseluruhan adalah 5.44 bilion euro, dengan 3.79 bilion adalah bagi pembelian perniagaan Peranti dan Perkhidmatan Nokia dan 1.65 bilion lagi bagi perjanjian bersama paten dan pilihan pada masa depan.

Bulan lalu, Nokia memuktamadkan pembelian hergasi kejuruteraan Jerman iaitu sebanyak 50 peratus saham dalam Nokia Siemens Networks (NSN) dengan nilai urus niaga 1.7 bilion euro.

NSN, yang pakar dalam pembangunan jalur lebar mudah alih berkelajuan tinggi, telah ditubuhkan sebagai satu syarikat usaha sama antara kedua-dua syarikat sejak 2007, dengan tempoh perjanjian tamat pada April.

Unit itu menyumbangkan pendapatan kukuh kepada perniagaan telefon mudah alih Nokia.

NSN mencatatkan keuntungan lapan juta euro bagi suku kedua tahun ini berbanding kerugian Nokia sebanyak 227 juta euro bagi tempoh yang sama. – AFP