Mejar Kehormat Nicol belajar terbang

ALOR SETAR – Jika sebelum ini, ratu skuasy negara dan pemain wanita nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David sering dilihat memakai pakaian sukan, tetapi hari ini beliau menukar penampilan dan memecah rekod dengan memakai pakaian juruterbang.

Beliau berbuat demikian bagi merasai pengalaman terbang dengan pesawat Pilatus PC7 MK II sebagai Major Kehormat dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Nicol dibawa terbang selama 30 minit dengan pesawat berkenaan yang dipandu Major Khairol Muzambi Salehin dari Pusat Latihan Penerbangan (Pulatibang) 1Kolej TUDM di sini dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.
 
Nicol berkata beliau berasa bertuah dan teruja apabila diberi peluang menaiki pesawat itu kerana amat jarang pasukan Tentera Udara memilih orang biasa, terutama ahli sukan untuk  merasai pengalaman “sekali seumur hidup ini”.

“Sungguh menyeronokkan. Memang merupakan suatu tuah dan penghormatan apabila diberi peluang untuk terbang dan menjadi sebahagian daripada pasukan Tentera Udara dan jawatan Mejar yang mereka beri kepada saya kerana menghargai pencapaian saya sebagai ahli sukan.

“Penerbangan hari ini menjadikan saya lebih memahami tugas TUDM, terutama para juruterbang,” kata Nicol kepada pemberita, semalam.

Nicol dianugerahkan pangkat mejar kehormat dalam pasukan sukarela itu pada 19 September tahun lepas.

Dalam kunjungan beliau hari ini, Nicol mengambil kesempatan untuk menyampaikan ceramah motivasi kepada juruterbang TUDM dan pelajar kolej berkenaan, yang disertai sesi soal jawab.

Nicol berkata beliau berharap dapat menyertai lebih banyak program TUDM pada masa akan datang, tetapi ini bergantung pada jadualnya. Beliau juga menyatakan hasrat untuk belajar memandu pesawat suatu hari nanti.

Sementara itu, Nicol berkata beliau merancang menubuhkan akademi skuasy sendiri dan rancangan ini akan lebih bermakna jika dilaksanakan di negeri kelahirannya, Pulau Pinang.

“Saya ada satu rancangan iaitu menubuhkan akademi sendiri di Pulau Pinang sebagai permulaan dan kemudian di seluruh Malaysia. Saya mahu orang lain juga mengalami dunia skuasy.

“Dengan menubuhkan akademi ini, saya boleh berkongsi pengetahuan dengan orang lain yang ingin menambah pengetahun tentang skuasy dan mungkin ia dapat dicapai dua tahun lagi,” katanya.

Nicol, yang merangkul gelaran juara kejohanan Terbuka Malaysia CIMB untuk kali kelapan minggu lepas, sedang membuat persiapan untuk menyertai kejohanan Carol Weymuller di New York dan Terbuka Amerika di Philadelphia bulan depan. – Bernama