Konsert sulung MPO Rocks di DFP

MEWAKILI legasi rock tanah air, Ella, Mus May dan Man Kidal bakal berpadu tenaga untuk sebuah konsert sulung MPO Rocks di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur sempena Festival Seni DFP pada 21 September depan.

Pemilihan ketiga-tiga otai rock Malaysia itu dibuat berdasarkan pengalaman, pencapaian dan warna muzik yang dipersembahkan sepanjang pembabitan dalam dunia seni.

Lebih menarik, konsert itu bakal dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose dan Datuk Ramli MS bertindak sebagai pengarah artistik.

Kata Muriz, beberapa lagu popular Ella dan Mus digubah semula dan disusun bersama 75 pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) untuk memberikan kelainan daripada konsert-konsert rock sebelum ini.

“Kita tidak akan mengulangi konsert-konsert rock sebelum ini dan pemilihan dibuat berdasarkan faktor luar biasa yang dilihat sepanjang karier mereka.

“Ella, Mus dan Man Kidal mewakili putera, puteri dan pemuzik generasi rock,” ujarnya pada sidang akhbar MPO Rocks di Hotel Traders Kuala Lumpur baru-baru ini.

Etika

Ketiga-tiga legenda rock tanah air itu bakal menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu-lagu malar segar mereka. Antaranya Standing In The Eyes Of The World, Layar Impian, Dua Insan Bercinta, Pelayaran, Hakikat Perjuangan, Sinar, Sentuhan Kidal dan sebuah lagu cover Srikandi Cintaku.

Sepanjang proses perbincangan sejak awal tahun ini, pemilihan lagu-lagu yang bakal dipersembahkan telah dipersetujui oleh ketiga-tiga pihak iaitu DFP, pengarah muzik dan artis.

Tambah Muriz, dia berdepan cabaran besar untuk memilih beberapa lagu terbaik daripada koleksi diskografi Ella, Mus dan Man Kidal memandangkan ketiga-tiga artis itu memiliki terlalu banyak lagu hits.

Sementara itu, kata Ramli MS, pihaknya telah berbincang bersama DFP untuk memberikan kelonggaran kepada penonton yang akan hadir ke konsert MPO Rocks pada hari Sabtu depan.

Memang menarik kerana siapa sangka muzik rock dipersembahkan di pentas sebegitu, namun inilah ‘kejutan’ MPO sendiri bagi menonjolkan versatiliti permainan mereka di samping memberi penghormatan terhadap muzik, penyanyi, pengikut serta peminat tegar genre terbabit.

Dipertanggungjawabkan menjadi konduktor bersama untuk konsert berkenaan, dua nama tersohor tidak lain tidak bukan Datuk Ramli MS dan Ahmad Muriz Che Rose bakal memimpin kumpulan pemuzik pada malam itu nanti.

Disebabkan konsep rock itu sendiri juga, kelonggaran turut diberikan terhadap penonton hadir kelak memandangkan demografi penonton yang hadir pastinya lebih variasi.

Menurut Ramli, dia sendiri mengusulkan mengenai kelonggaran berkenaan mengambil kira bagaimana ‘kegilaan’ peminat rock itu sendiri manakala atmosfera muzik rock itu juga seharusnya diraikan.

“Saya sendiri meminta daripada segi protokol itu sendiri dilonggarkan kerana tahu peminat pastinya mahu bernyanyi sama, berdiri mahupun melompat menikmati persembahan itu kelak.

“Bayangkan, kami semua sudah berhempas-pulas bermain di pentas, takkan penonton duduk tanpa ada tindak balas sejajar dengan tenaga kami? Bagaimanapun, beberapa peraturan masih perlu dipatuhi mengikut piawaian DFP sendiri terutama daripada segi pemakaian,” katanya.

Yang pasti, penonton bakal disajikan gabungan luar biasa daripada 75 pemuzik serta lima ‘sessionist’ memberikan sentuhan ekstravaganza kepada rangkaian lagu persembahan tiga artis berkenaan nanti.

Tidak sekadar menampilkan artis tersohor itu semata-mata, susunan lagu juga pastinya berbeza daripada segi kekayaan bunyinya. Menurut Muriz pula, ‘perisa’ muzik berbeza pada setiap lagu dan penonton pasti terpesona.

“Kami mahu memberi keadilan kepada setiap lagu dan naik taraf lagi bunyinya tanpa menggubah melodi asal. Kalau ada perubahan pun, tidaklah banyak mana dan pasti penonton masih kenal lagu itu kelak.

“Cabaran konsert ini banyak pada pemilihan lagu itu sendiri kerana setiap lagu berkenaan akan kami berikan resipi tersendiri untuk memastikan ia luar biasa,” katanya.

Antara lagu yang bakal dipersembahkan adalah Layar Impian, Kesal, Dua Insan Bercinta dan Sepi Sekuntum Mawar Merah nyanyian Ella, Sentuhan Kidal (Man Kidal); Sinar, Sendiri, Pelayaran dan Srikandi Cintaku (Mus May).

Persiapan Mus lebih terperinci

Kali pertama menjejakkan ke pentas berprestij itu, keterujaan vokalis May, Mus semestinya cukup terasa apatah lagi menjadi antara penyanyi rock tempatan beraksi di DFP.

Mengakui memang terharu diberi penghormatan itu menaikkan lagi semangatnya untuk membuat persiapan lebih kerana malam itu pastinya akan menjadi sejarah manis buatnya sendiri.

“Mula-mula saya ditawarkan untuk konsert itu, saya sebenarnya tidak terasa apa dan mengiyakan saja. Saya pun buka tidak pernah menyanyi bersama dengan orkestra namun selepas lama memikir mengenai konsert ini, perasaannya memang lain sekali.

“Saya sedar ini satu peluang yang takkan datang bila-bila, beraksi di pentas bertaraf antarabangsa pula, saya sedar inilah masanya untuk menunjukkan persembahan luar biasa,” katanya.

Tempahan tiket MPO Rocks berharga RM150, RM200, RM250 dan RM300 sudah mulai dibuka dengan menghubungi talian 03-20517007 atau fax 03-20517077 atau menerusi emel dfp_boxoffice@petronas.com.my atau menerusi laman web DFP/MPO www.mpo.com.my