Konsert metal ‘Lamb of God’ ditolak

Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menolak permohonan penganjuran konsert kumpulan heavy metal ‘Lamb of God’ yang dijadual berlangsung pada 28 September ini.

Menurut kenyataan KKMM semalam, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), kelmarin.

“Keputusan penolakan ini dibuat selepas mendapati persembahan kumpulan ini menyentuh sensitiviti agama serta nilai-nilai budaya masyarakat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Kumpulan dari Amerika Syarikat itu dijadual membuat persembahan di Jalan Sultan Ismail di sini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini turut membantah kehadiran kumpulan itu di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha berkata, bantahan itu berikutan genre muzik kumpulan berkenaan yang pernah membuat persembahan dengan mencampuradukkan lagu metal dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Dipercayai pembatalan konsert ini disebabkan DVD terbaru kumpulan itu yang bertajuk Killadelphia yang memaparkan bacaan ayat Al-Quran surah Ar Rahman pada bahagian intro filem tersebut.

Pembatalan konsert ini juga menarik perhatian media muzik metal diseluruh dunia seperti MetalHammer dan Guitar World.