Kim Swee dalam dilema, Rozaimi bersedia

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara Ong Kim Swee mengakui ‘sakit kepala’ untuk memilih senarai akhir 22 pemain hari ini bagi mengharungi Pestabola Merdeka di Kuantan.

Menurut pengendali itu, semua 25 pemain mempamerkan prestasi baik ketika sesi latihan dan perlawanan persahabatan sebelum ini namun beliau terpaksa menggugurkan tiga pemain daripada skuadnya.

“Dengan pemain yang saya miliki ketika ini memang ‘sakit kepala’ untuk memilih pemain bagi senarai akhir 22 pemain namun ini satu tanda positif bagi pasukan muda negara ini. Mereka sedar mereka perlu bersaing untuk mendapat tempat dan tiada tempat automatik dalam pasukan ini.

“Pada kejohanan ini saya hanya boleh membawa 22 pemain jadi saya akan menggugurkan tiga lagi pemain dan saya akan umumkan senarai pemain esok (hari ini). Apa yang boleh saya katakan di sini, pemain yang boleh beraksi lebih satu posisi mempunyai kelebihan untuk mendapat tempat,” katanya.

Kim Swee kini sibuk dalam persiapan terakhir pasukannya menjelang pertembungan dengan Singapura yang dibarisi ramai pemain juara Liga Super LionsXII kendalian V Sundramoorthy esok di Stadium Darul Makmur.

Ketika ditanya mengenai kedudukan pemain perancang Muhamad Nazmi Faiz Mansor dalam pasukan, Kim Swee berkata pemain PKNS FC itu sudah kembali pulih daripada kecederaan.

“Nazmi sudah menjalani latihan penuh bersama pasukan hari ini (semalam) dan dia mungkin akan berada dalam pasukan bagi kejohanan ini namun untuk berada dalam kesebelasan utama menentang Singapura itu belum pasti,” jelasnya.

Menurut Kim Swee, mereka perlu berwaspada berdepan Singapura yang majoritinya bermain dalam liga dan berlatih bersama lebih lapan bulan dan biarpun pasukan muda negara menimba pengalaman di Eropah, beliau bagaimanapun membawa lapan pemain luar kali ini.

“Perlawanan pertama dengan Singapura bukan mudah, segala kemungkinan boleh terjadi tapi saya percaya pemain sudah bersedia,” katanya penuh yakin.

Sementara itu, Stadium Darul Makmur bukan asing buat penyerang muda Rozaimi Abd Rahman (gambar) yang membantu Sabah memenangi pingat emas SUKMA tahun lalu dan kali ini dia kembali dengan misi yang sama namun dengan pasukan yang berbeza.

Rozaimi yang menjaringkan salah satu gol kemenangan 3-0 Sabah ke atas Perak pada aksi final itu kini menjadi salah satu ‘senjata’ utama skuad bawah 23 tahun (B-23) negara kendalian Ong Kim Swee bagi menggempur kubu lawan pada Pestabola Merdeka bermula esok.

Pemain berusia 21 tahun kelahiran Bongawan itu hadir dengan reputasi baik selepas dipilih sebagai salah seorang daripada 10 Pemain Terbaik Asia lawan web bola sepak ESPN Soccernet 2012 berikutan aksi memukau menerusi ledakan 10 gol pada Kejohanan Kelayakan Piala Asia B-22 tahun lalu.

Namun rekod lampau tidak memberikannya tempat automatik dalam kesebelasan utama kerana Rozaimi sedar dia perlu berebut tempat dengan pemain lain bagi aksi pertama menentang Singapura yang dibarisi ramai pemain skuad juara Liga Super, LionsXII di Stadium Darul Makmur esok.

“Banyak lagi kelemahan yang perlu saya perbaiki dan bukan mudah untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama memandangkan pemain lain juga dalam prestasi terbaik ketika ini. Apa yang saya boleh lakukan adalah terus berusaha meningkatkan prestasi untuk mendapat tempat,” katanya.

Selain Rozaimi, pengendali negara Kim Swee turut memiliki pilihan penyerang dari skuad Harimau Muda A, A Thamil Arasu, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir dan penyerang Negeri Sembilan S Sivanesan yang meledak lima gol dalam kempen Piala Malaysia setakat ini.

Rozaimi yang pernah menolak tawaran kelab elit Thailand BEC Tero Sasana tahun lalu kerana sudah menandatangani kontrak dengan Selangor untuk kempen Piala Malaysia mengakui bersemangat untuk beraksi menentang musuh tradisi Singapura.

“Saya berjanji akan memberikan yang terbaik jika diberi peluang oleh jurulatih bermain menentang Singapura. Dalam apa saja perlawanan bertemu dengan pasukan dari Singapura pasti sengit dan saya mahu membantu pasukan mendapat permulaan baik Sabtu ini,” katanya. – HMetro