Kami buktikan di Wembley – Lampard

ENGLAND – Frank Lampard tampil memberi amaran kepada pengkritik agar tidak terlalu awal menilai skuad Three Lions sebelum tamat kempen kelayakan Piala Dunia 2014.

Skuad bimbingan Roy Hodgson mendapat kritikan hebat selepas terikat tanpa jaringan dengan Ukraine dalam aksi Kumpulan H, kelmarin.

England masih kekal sebagai pendahulu Kumpulan H dengan hanya kelebihan satu mata dalam baki dua perlawanan yang akan berlangsung bulan depan di laman sendiri.

Lampard berkata, semua pengkritik England perlu menangguhkan sementara penilaian mereka terhadap pasukan itu sehingga berakhir dua perlawanan peringkat kumpulan.

“Kemenangan akan menentukan segalanya, namun keputusan yang kami raih ketika menentang Ukraine ini masih lagi baik untuk pasukan.

“Mereka (Ukraine) adalah pasukan yang bagus dan mempunyai kualiti pada bahagian sayap hingga kadang-kala anda rasa tertekan dengan corak permainan pasukan lawan.

“Bermain dalam dua baki perlawanan akan datang di tempat sendiri mampu memberikan kelebihan kepada pasukan England.

“Kami juga perlu percaya dengan kemampuan diri sendiri bahawa kami mampu untuk melakukan yang terbaik bulan depan.

“Saya tidak tahu mendalam berhubung kritikan yang dilemparkan. Bagi saya semua kritikan tersebut akan terjawab selepas tamat saingan kelayakan nanti.

“Kami akan menjadi lebih kuat terutama apabila pemain yang mengalami kecederaan telah pulih untuk kembali bersama pasukan.

“Sungguhpun beraksi tanpa beberapa pemain utama namun pasukan tetap mampu meraih satu mata sewaktu menentang Ukraine dan keputusan lebih bagus pasti diraih andai pasukan mempunyai kesemua tonggak utama.

“Sudah tentu kami mahukan kemenangan pada perlawanan selepas ini kerana kami tidak mahu terlepas aksi Piala Dunia tahun depan”. – AGENSI