Kaka tolak gaji di Milan kerana cedera

Penyerang AC Milan, Kaka yang mengalami kecederaan telah memutuskan untuk tidak menerima gaji sehingga dia pulih dari kecederaan.

Penyerang itu cedera pada babak kedua perlawanan menentang Torino – perlawanan kompetitif pertamanya sejak kembali ke Itali.

Kaka mengalami kecederaan otot di bahagian paha kirinya dan akan diperiksa dalam masa 10 hari untuk memastikan masa pemulihan.

“Semalam (Ahad) adalah hari yang sukar untuk saya kerana saya mengalami kecederaan,” katanya.
“Saya tidak menjangkakan kecederaan seperti ini. Ia sangat sukar untuk saya.

“Saya sudah berbincang dengan kelab dan doktor telah memberitahu beberapa perkara.

“Saya telah membuat keputusan untuk tidak menerima apa-apa dari Milan kecuali sokongan dan perhatian.
“Sehingga saya cergas kembali dan bersedia untuk beraksi, saya telah membuat keputusan untuk tidak menerima gaji.

“Saya sudah memulakan proses pemulihan.

“Perhatian yang saya terima beberapa hari lepas memberikan saya motivasi untuk cepat sihat.”