Hoki: Peluang terbaik pulih maruah negara

IPOH – Aksi Malaysia menentang Pakistan dalam perebutan tempat ketiga hoki Piala Asia 2013 bakal menjadi perlawanan paling sukar buat skuad kebangsaan pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini.

Itu pandangan jurulatih kebangsaan, Paul Revington yang kini mahu memastikan tempat ketiga Piala Asia 2013 mampu menjadi milik Malaysia.

Kata Revington, Pakistan dijangka memberikan aksi terbaik mereka bagi memenangi perlawanan hari ini tambahan pula pasukan kedua terbaik Asia itu sudah tentu tidak mahu pulang tangan kosong.
Tambah Revington, Pakistan juga akan menjadikan perlawanan penentuan tempat ketiga sebagai medan menebus kekecewaan selepas gagal melangkah ke Piala Dunia 2014 buat kali pertama dalam sejarah penyertaannya.

“Mereka (Pakistan) sudah tentu akan menjadi lebih berbahaya buat kami dan lawan yang sukar sekali gus memerlukan pasukan mempamerkan persembahan yang lebih baik daripada sebelum ini.
“Memang saya akui kecewa dengan kekalahan pada saingan separuh akhir kepada India, namun perjuangan harus diteruskan.

“Menentang Pakistan memerlukan pasukan mengkaji lebih teliti corak permainan lawan bagi memastikan kami mampu mendapatkan peluang mendapatkan jaringan,” kata Revington.
Sementara itu, peluang Malaysia untuk melangkah ke Piala Dunia tahun depan di Belanda tetap cerah menerusi slot Ocenia. – Utusan