Hoki: Kerap berdepan gergasi dunia

SKUAD hoki negara harus kerap mengatur aksi persahabatan dengan gergasi-gergasi dunia jika mahu mengelak daripada menjadi pasukan belasahan pada kempen Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda.

Bekas pertahanan negara era 1990-an, Maninderjit Singh menjelaskan, aksi menentang pasukan seperti Jerman, Belanda, Australia, England mahupun Belgium amat penting bagi memperbaiki sebarang kelemahan yang dikenal pasti selain mampu menguatkan keyakinan barisan pemain negara dalam kempen tersebut.

“Kita hanya ada sembilan bulan lagi untuk melakukan persiapan (sebelum Piala Dunia) dan selepas aksi hambar pada Piala Asia di Ipoh tempoh hari, saya lihat banyak kelemahan yang kita perlu tangani dengan segera.

“Antara kelemahan tersebut ialah aksi pemain tidak konsisten sepanjang permainan, jentera penyudah yang agak tumpul terutama dalam set piece sudut penalti serta kelemahan di barisan pertahanan.

“Jadi untuk memperbaiki masalah ini, hanya perlawanan dengan pasukan terbaik dunia yang boleh memberi ruang kepada kita mengenal pasti kelemahan seterusnya mengatasi masalah itu.

“Ia juga mampu menguatkan lagi keyakinan dan moral pemain sekiranya berdepan pasukan-pasukan gergasi ini di Belanda nanti,” jelas Maninderjit yang pernah beraksi dalam dua temasya Olimpik dan dua kempen Piala Dunia.

Malaysia berjaya menamatkan kemarau beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun setelah menjadi pasukan ketiga dalam senarai menunggu.

Skuad kendalian Paul Revington itu yang menduduki tempat kelima dalam saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru Julai lepas, gagal melunaskan misi mereka menjuarai Piala Asia di Ipoh yang berakhir Ahad lalu dengan menduduki tempat keempat.

Situasi itu mula menimbulkan kebimbangan terhadap moral dan keyakinan para pemain selepas prestasi permainan mereka dilihat semakin merosot di Ipoh dengan hanya mencatat dua kemenangan (ke atas Taiwan dan Jepun).

“Saya rasa kegagalan kita pada Piala Asia adalah disebabkan keletihan kerana kejohanan itu bermula lebih kurang 20 hari selepas Liga Hoki Dunia di Johor Bahru berakhir,” kata bekas penyerang dan kapten negara, Mirnawan Nawawi.

“Namun, apa yang pasti dalam masa sembilan bulan sebelum Piala Dunia, Paul perlu mencari formula terbaik mengatasi tiga kelemahan iaitu dalam aspek konsistensi, fizikal dan mental pemain.

“Kecergasan dan kekuatan fizikal harus dipertingkatkan lagi jika mahu setiap pemain memberi aksi yang konsisten sepanjang berada di atas padang.

“Untuk menguatkan psikologi pemain, Malaysia perlu banyak bermain menentang pasukan terbaik dunia supaya mental dan keyakinan pemain setanding dengan pasukan gergasi dunia yang lain,” tambahnya yang membuat 327 penampilan antarabangsa serta beraksi dalam dua pentas Olimpik serta Piala Dunia.- Kosmo