Hoki: India juarai Piala Sultan Johor

HASRAT Malaysia untuk kembali menjuarai Piala Sultan Johor tidak kesampaian apabila tewas 0-3 kepada India pada aksi final di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru malam tadi.

Selepas muncul juara pada edisi pertama dua tahun lalu, skuad bimbingan Muhd. Dharma Raj Abdullah itu ternyata gagal untuk menandingi kehebatan India meskipun menerima sokongan padu daripada lebih 7,000 penyokong.

Kekecewaan sama disuarakan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang turut hadir menyaksikan perlawanan malam tadi.

“Sukar untuk terima kekalahan ini. Bagi saya, jaringan 3-0 agak besar dan saya rasa banyak kesilapan dilakukan para pemain yang menyumbang kepada kekalahan ini.

“Mereka bermain dengan lebih baik semalam (kelmarin) ketika seri dengan pasukan sama,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang malam tadi.

Bagi Dharma Raj, barisan pemainnya telah cuba memberikan aksi terbaik, namun mengakui betapa India sememangnya pasukan yang sukar ditewaskan.

“Ada antara pemain kita yang baru pertama kali beraksi pada kejohanan besar seperti ini dan mereka masih belum cukup berpengalaman berbanding India.

“Mereka patut lebih bijak mengawal emosi apabila berada di padang,” katanya.

Pada aksi malam tadi, benteng pertahanan India tampak kebal apabila skuad remaja negara hanya mampu memperoleh tiga pukulan sudut penalti, namun gagal dimanfaat sebaik mungkin.

Meskipun melakukan serangan awal, skuad negara dikejutkan dengan gol pertama India pada minit ke-21 menerusi pergerakan cantik Amon Mirash Tirkey.

India berjaya menambah jaringan pada minit ke-54 menerusi Yousuf Affan yang menerima hantaran cantik Ramandeep Singh.

India mengesahkan kemenangan apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-64 hasil jaringan sudut penalti kapten, Harjot Singh.

Pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, Argentina menewaskan Pakistan 3-0 menerusi penentuan pukulan penalti.

Korea Selatan pula menghuni tempat kelima selepas menewaskan England 6-0.