Highlights: Brazil belasah Australia

BRASILIA – Neymar menjaringkan satu gol dan menjadi penggerak kepada dua lagi jaringan ketika Brazil membelasah Australia 6-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nacional awal pagi semalam.

Penyerang Manchester City, Jo meledakkan dua gol lagi pada babak pertama sebelum Ramires, Pato dan Luiz Gustavo melengkapkan jaringan besar Brazil itu ke atas Australia sejak final Piala Konfederasi 1997.

Australia pula dilihat gagal memberi masalah kepada Brazil yang mendominasi permainan dan menghukum kealpaan pertahanan skuad Socceroos itu tanpa belas kasihan.

Sebelum perlawanan, perancang Brazil, Oscar tidak diturunkan ekoran kecederaan buku lali ketika latihan manakala sebelum rehat, pertahanan kiri Real Madrid, Marcelo pula terpaksa dikeluarkan kerana masalah hamstring.

Pesta gol bermula seawal minit kelapan apabila Jo menyambut baik hantaran Neymar.

Jo kemudian menggandakan kelebihan Brazil dengan gol pada minit ke-31 dengan memperdayakan kapten dan pertahanan Australia, Lucas Neil.

Neymar pula menjaringkan gol ketiga pada minit ke-35 selepas menggelecek tiga pemain Australia.

Ia merupakan gol ke-25 pemain Barcelona itu dalam 41 penampilan bersama Brazil.

Pada babak kedua, Ramires menanduk masuk bola hantaran Maxwell pada minit ke-58 sebelum Pato menambah gol kelima pada minit ke-71 hasil gerakan Neymar.

Brazil kemudian menutup pesta mereka dengan gol terakhir pada minit ke-81 menerusi percubaan menarik Luiz Gustavo. – AP