Hero Thamil selamatkan Malaysia

SKUAD Harimau Muda bermula dengan langkah kanan pada aksi pembukaan Pestabola Merdeka 2013 selepas menewaskan Singapura 1-0 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Pahang semalam.

Kedua-dua pasukan bermula agak perlahan selepas terpaksa beraksi dalam keadaan padang yang ditakungi air akibat hujan lebat sebelum A. Thamil Arasu meledakkan gol kemenangan pada minit ke-53.

Jaringan itu menyuntik semangat anak-anak buah Ong Kim Swee apabila mereka terus menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan merbahaya ke kubu Singapura.

Kim Swee berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya pada aksi sulung itu.

Katanya, apa yang paling penting adalah mengutip tiga mata penuh.

“Keadaan padang yang teruk (air bertakung) telah merencatkan aksi kedua-dua pasukan dan saya sudah jangka Singapura akan beraksi dengan skuad kedua tetapi persembahan mereka wajar mendapat pujian.

“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudi meluangkan masa bertemu para pemain,” kata Kim Swee.

Pada perlawanan semalam, Harimau Muda terlebih dahulu menguji benteng pertahanan Singapura apabila pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor berjaya melepaskan satu sepakan padu pada minit kedua tetapi tersasar.

Pada minit ketujuh, pemain sayap Singapura, Quak Jun Yi melakukan larian menarik di bahagian kanan pintu gol pasukan negara dan berjaya melepaskan percubaan tepat, namun mudah buat penjaga gol Harimau Muda A, Mohd. Izham Tarmizi.

Selepas 10 minit beraksi, Harimau Muda A mula mendapat rentak dan seterusnya melancarkan beberapa serangan berbahaya dan mendominasi permainan sepanjang separuh masa pertama.

Kapten Harimau Muda, Mohd. Irfan Fazail bijak mengawal jentera tengah dengan membuat hantaran-hantaran cantik dan dia berpeluang menghasilkan gol pembukaan pada minit ke-15 apabila rembatan volinya sedikit tersasar.

Aksi pemain sayap Ryukyu FC, Wan Zack juga tidak mengecewakan apabila dia memainkan peranan utama dalam merobek skuad Singa menerusi larian-larian derasnya dan pada minit ke-18 percubaannya dinafikan oleh penjaga gol Singapura, Muhd. Syazwan Buhari.

Selepas itu, Arasu berjaya memecahkan benteng Singapura menerusi gerakan satu dua dengan Mohd, Irfan pada minit ke-23 namun rembatannya tepat ke dakapan Muhd. Syazwan.

Pada minit ke-35, Harimau Muda mendapat peluang menerusi satu sepakan percuma bagaimanapun sepakan yang diambil oleh Wan Zack gagal disudahkan dengan sempurna oleh Putera Nadher Amarhan yang menanduk melepasi palang gol.

Kedua-dua pasukan memasuki bilik persalinan untuk rehat separuh masa pertama dengan kedudukan terikat 0-0.

Ketika babak kedua bersambung, Harimau Muda tidak menunggu lama apabila sebaik wisel ditiup oleh pengadil perlawanan mereka terus melancarkan serangan dan hasil gerakan satu dua antara Thamil dengan S. Sivanesan berjaya diterjemahkan menerusi jaringan itu.

Pada minit ke-56, Harimau Muda mendapat peluang terbaik menambah jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti kerana pemain Singapura, Muhd. Afiq Yunos menampan bola dengan tangan, sekali gus dilayangkan kad merah.

Namun, sepakan Wan Zack berjaya ditampan Muhd. Syazwan.

Harimau Muda akan bertemu Myanmar dalam aksi kedua esok. – Kosmo