Harimau Muda sudah tidak sabar

PARA pemain Harimau Muda telah membuatkan pengendalinya, Ong Kim Swee bertambah pening kepala.

Bagaimanapun, situasi tersebut merupakan satu perkembangan positif dalam kalangan para pemain skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara itu bagi menghadapi perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013 menentang Myanmar malam esok.

Selain itu, skuad muda negara itu juga akan turun dalam misi mengekalkan pingat emas di Sukan SEA Disember depan.

Menurut Kim Swee, para pemain yang berada dalam skuadnya kini sangat positif serta mereka berlumba-lumba untuk mencuri perhatian saya untuk diletakkan dalam kesebelasan utama.

“Mereka (pemain) telah membuatkan saya pening kepala.

“Tetapi, sakit kepala saya itu sesuatu yang positif buat pasukan Harimau Muda kerana mereka berlumba-lumba memberikan persembahan terbaik ketika diberi peluang beraksi.

“Saya berharap sikap positif begini akan terus dikekalkan dalam diri para pemain bukan sahaja bagi menghadapi perlawanan akhir Sabtu ini (malam esok) dan pada Sukan SEA nanti, tetapi perlu dikekalkan sampai bila-bila,” kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pertemuan dengan Thailand kelmarin, Kim Swee berkata, beliau telah merehatkan beberapa tonggak utama pasukan yang kepenatan serta digantung perlawanan bagi memberi peluang seramai enam pemain yang masih belum diturunkan dalam kejohanan itu.

Kata beliau, ternyata para pemain yang diberi peluang telah membalas kepercayaan yang diberikan olehnya dengan menampilkan permainan sangat berkualiti bagi membenam musuh tradisi, skuad Gajah Perang.

“Inilah yang saya harapkan selama ini, apabila dipanggil untuk menggalas cabaran, mereka (pemain-pemain simpanan) bersedia pada bila-bila masa dan mampu memberikan satu persembahan meyakinkan.

“Bagaimanapun, ingin saya tegaskan di sini bahawa tiada gunanya kita mengutip mata maksimum dalam peringkat kumpulan tetapi gagal dalam final.

“Saya berharap para pemain mengambil kesempatan masa rehat selama dua hari ini sebelum turun pada perlawanan akhir bertemu Myanmar pada malam Sabtu ini (esok) untuk mengembalikan kecergasan dan fokuskan dalam fikiran untuk menang.

“Saya serba sedikit telah mengetahui corak permainan Myanmar namun, saya tidak mahu para pemain terlalu yakin walaupun kami menewaskan mereka 2-1 dalam aksi kumpulan sebelum ini,” kata Kim Swee sambil mengingatkan pemainnya waspada dengan rentak Myanmar.

“Jangan leka dan riak dengan kejayaan setakat ini, sebaliknya terus bersungguh-sungguh pada perlawanan akhir nanti,” pesan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah khusus untuk pemain Harimau Muda A menjelang perlawanan akhir menentang Myanmar esok.

Katanya, sepanjang kempen Pestabola Merdeka, pasukan muda kebangsaan itu mempamerkan aksi cemerlang dan bertenaga untuk menang semua perlawanan dan mereka perlu mengekalkan momentum jika mahu muncul juara.

“Saya sempat menyaksikan perlawanan antara Harimau Muda dan Thailand malam tadi (kelmarin), dan mereka beraksi dengan mantap. Corak permainan ditonjolkan juga menarik dan saya harap pemain tidak berasa megah dengan kejayaan diraih.

“Mereka perlu terus mempamerkan sistem permainan baik dan melakukan persiapan mental kuat. Paling penting, semua pemain perlu ada ‘winning attitude’ bagi memastikan misi muncul juara menjadi kenyataan,” katanya semalam.

Katanya, aksi pada final Sabtu ini juga menjadi penentu sejauh mana persiapan skuad kendalian Ong Kim Swee untuk menggalas cabaran pada temasya Sukan SEA Myanmar, hujung tahun ini.