Harimau Muda bangkit tewaskan Sriwijaya

Harimau Muda akhirnya meraih kemenangan dalam kejohanan Piala Menpora dengan menewaskan Sriwijaya FC 4-2 pada petang Selasa.

Selepas seri 2-2 dengan Persib Bandung dan tewas 2-0 kepada Central Coast Mariners dalam saingan Kumpulan A, Harimau Muda tidak berjaya ke final kejohanan ini namun telah berusaha untuk mendapatkan tiga mata pada perlawanan terakhir.

Perlawanan di Stadium Si Jalak Harupat itu bermula baik dengan kedua-dua pasukan mengasak kubu pertahanan masing-masing.

Harimau Muda mendahului perlawanan pada minit ke-12 hasil jaringan Thamil Arasu.

Masuk minit ke-25, Sriwijaya berjaya menyamakan kedudukan dengan jaringan cantik oleh Alan Martha.
Harimau Muda terus cuba untuk bangkit dan menggandakan usaha untuk mendapatkan jaringan dengan gandingan Saiful Ridzuwan dan Thamil menguji pertahanan Sriwijaya.

Pemain sayap, Saarvindran meletakkan Harimau Muda di hadapan semula apabila hantaran lintangnya dari kanan terus masuk ke gawang gol lawan pada minit ke-35.

Namun, Sriwijaya sekali lagi menyamakan kedudukan dua minit sebelum waktu rehat.

Harimau Muda terus mengasak pada babak kedua perlawanan dan Rozaimi menyumbat dua gol pada minit ke 53 dan 55. – Foxsports