Harimau Malaya berguru dilokasi rahsia

Petaling Jaya: Skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal melakukan kelainan apabila bakal berlatih di satu ‘lokasi rahsia’ menjelang perlawanan ketiga Kumpulan D, Kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Bahrain di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini.

Pengurus pasukan, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan fokus pemain tidak terganggu memandangkan ia perlawanan hidup mati skuad Harimau Malaya jika mahu meneruskan misi menghuni dua tangga teratas layak ke pusingan akhir di Australia.

“Kami akan berlepas ke Shenzhen, China 6 Oktober ini untuk perlawanan persahabatan menentang UAE pada 9 Oktober. Sekembalinya ke tanah air pada keesokannya hingga menjelang perlawanan sebenar menentang Bahrain 15 Oktober yang juga jatuh pada Hari Raya Haji, kami akan adakan latihan secara tertutup.

“Ini kerana kami mahu menang ke atas Bahrain. Jadi penting untuk kami berkumpul bersama di satu lokasi yang sesuai untuk mencari fokus serta membina keyakinan dari segi mental dan fizikal.

Bukan permintaan Raja

“Saya tidak boleh beritahu di mana lokasinya tetapi ia bukan di Wisma FAM, Kelana Jaya seperti kebiasaannya. Ia di satu lokasi lain tetapi masih dalam negara,” kata Subahan ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Pengajar Program Akar Umbi Futuro III anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Hotel Hilton, pagi semalam.

Ditanya adakah tindakan itu adalah permintaan Rajagobal supaya sesi latihannya tidak diganggu pihak media, Subahan ringkas menjawab: “Bukan… cuma kami nak fokus menjelang perlawanan menentang Bahrain.”
Tambah Subahan, kem latihan pusat skuad kebangsaan akan bermula Selasa depan dengan disertai pemain yang pasukan mereka sudah terkeluar daripada suku akhir Piala Malaysia manakala selebihnya akan melapor diri pada 5 Oktober.

Skuad Harimau Malaya tewas 2-0 kepada Qatar pada aksi pertama di Doha, 6 Februari lalu sebelum menang 2-1 ke atas Yaman di Shah Alam, 22 Mac lalu untuk kini menghuni tangga ketiga Kumpulan D di belakang Bahrain dan Qatar. – BH

One Reply to “Harimau Malaya berguru dilokasi rahsia”

Comments are closed.