Gareth Bale sah milik Real Madrid

MADRID 2 Sept. – Gareth Bale akhirnya sah menjadi milik Real Madrid selepas melengkapkan perpindahan bintang tengah Tottenham itu menerusi kontrak enam tahun, semalam.

“Real Madrid dan Tottenham sudah mencapai persetujuan mengenai perpindahan Gareth Bale.

“Pemain ini akan mengikat kontrak bersama kami untuk enam musim,” umum Real Madrid dalam laman web rasmi kelab, sebentar tadi.

Banyak laporan yang mengatakan Bale akan menjadi pemain termahal dunia, malah pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas minggu lalu berkata, dia menjangkakan kelabnya bakal menerima bayaran perpindahan rekod dunia untuk pemain antarabangsa Wales itu.

Laporan terbaru melaporkan pengesahan perpindahan Bale bernilai  €100m (£85.2m). Kontraknya bernilai  £170,000 seminggu selepas cukai.