Gaji jurulatih baru dibayar ikut kemampuan FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menjanjikan ‘langit dan bintang’ kepada individu yang berminat untuk menggantikan tugas Datuk K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, badan induk itu bersedia membayar gaji mengikut kemampuan jika tugas Rajagobal diambil alih oleh pengendali lain.

“Kita tahu macam mana nak menilai, kalau terlampau banyak sangat (gaji jurulatih), mungkin kita tak mampu.

“Kita tengok daripada segi kemampuan, tak bolehlah nak janji langit dan bintang, sekadar yang kita mampu, kita bayar,” jelas Tengku Abdullah semalam.

Tengku Abdullah berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pihak media sama ada FAM sanggup berbelanja besar atau tidak untuk membayar khidmat ketua jurulatih baharu Harimau Malaya kelak jika kontrak Rajagobal tidak disambung.

Selain bekas jurulatih skuad utama Liverpool, Alex Miller yang menyatakan kesediaan untuk mengambil alih tempat Rajagobal, bekas pengendali Jepun, Phillippe Trouisser dan legenda Jerman, Rudi Voller turut menjadi antara calon hangat.

Bagaimanapun, Troussier dikatakan hanya bersedia membimbing Harimau Malaya sekiranya memperoleh gaji bulanan sebanyak AS$126,805 (RM416,000).

Ketika ditanya sama ada FAM berkemampuan membayar RM400,000 sebulan kepada bakal ketua jurulatih baharu, secara berseloroh Tengku Abdullah menjawab: “Saya kena semak dengan akauntan FAM dulu, saya sendiri pun tak tahu, Insya-Allah kita cuba.”- Kosmo