FAM pujuk Philippe Troussier ganti Rajagobal

Kuala Lumpur: Senarai jurulatih bagi menggantikan Datuk K Rajagobal sebagai ketua jurulatih skuad negara kian bertambah dengan angka terbaru mencecah 37 calon ketika nama bekas jurulatih Jepun Philippe Troussier menjadi tumpuan utama.

Jumlah permohonan terbaru itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang menerima permohonan jurulatih luar negara dan tempatan walaupun pada hakikatnya badan induk itu tidak pernah mengiklankan kekosongan jawatan panas itu.

“Senarai itu terus bertambah. Hingga kini sudah ada 37 permohonan, semakin ramai yang berminat membuatkan kita rasa gembira namun ingin saya tegaskan, hak jurulatih yang berminat untuk menghantar permohonan,” katanya.

Walaupun enggan mendedahkan sebarang nama yang membuat permohonan, pelbagai nama dikaitkan seperti bekas pengendali Jepun dari Perancis yang membawa negara itu menjulang Piala Asia, Troussier kini menjadi calon utama mengisi jawatan bermula tahun depan dengan FAM dilapor sudah memujuk Troussier dengan menawarkan pendapatan bulan AS$18,000 (RM59,500).

Namun pengendali berpengalaman itu hanya bersedia menerimanya andai tawaran pendapatan tahunan bernilai AS$1.52 juta (RM5 juta) atau Troussier dianggar memperoleh gaji bulanan AS$126,805 (RM416,000).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang ditemui enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi itu sambil memberitahu dia tidak tahu menahu mengenai perkara berkenaan.

“Saya tidak tahu mengenai perkara ini dan enggan memberikan komen lanjut mengenai spekulasi ini.

“Senarai mereka yang memohon terus bertambah dan sehingga kini, ada sebanyak 37 permohonan kami telah terima yang mana semakin ramai berminat.

Antara jurulatih yang berminat

Perkara ini membuatkan kita rasa gembira, namun ingin saya tegaskan itu adalah hak jurulatih yang berminat untuk menghantar permohonan,” katanya selepas sidang akhbar Kursus Persediaan Fizikal Jurulatih Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Hotel Hilton, Petaling Jaya, semalam.

Rajagobal yang masih membimbing pasukan negara mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015, masih memiliki baki kontrak bersama FAM sehingga akhir Disember depan.

Jika jurulatih berumur 57 tahun itu masih berharap mahu membimbing Harimau Malaya pada tahun hadapan, dia perlu memastikan pasukan negara layak ke pentas Piala Asia yang merupakan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) paling utama.

Jelas Hamidin lagi, FAM terlebih dahulu akan berbincang sebelum membuat sebarang keputusan sama ada mahu melanjutkan kontrak Rajagobal jika Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia.

“FAM belum lagi membuka jawatan ini (ketua jurulatih Harimau Malaya) dan mungkin ramai (jurulatih) mengetahui bahawa kontrak Rajagobal akan tamat pada 31 Disember depan.

“Mereka yang terdiri dari jurulatih tempatan mahupun luar negara boleh menghantar surat permohonan tersebut tetapi FAM akan menilai terlebih dahulu masih belum membuat sebarang keputusan,” jelasnya.