FAM kenal pasti tiga calon bertaraf dunia

SPEKULASI mengenai pengganti Datuk K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya semakin bertiup kencang apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima permohonan daripada tiga pengendali bertaraf dunia yang berminat mengisi jawatan tersebut.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin memberitahu, pihaknya telah menapis senarai jurulatih berdasarkan kemampuan calon-calon tersebut.

Sebelum ini, bekas jurulatih Jepun, Philippe Troussier antara calon paling ‘panas’ dikaitkan sebagai pengganti Rajagobal selepas FAM dikatakan sedang berusaha untuk mendapatkan khidmatnya.

Sebagai rekod, Troussier berjaya membimbing skuad Samurai Biru itu beraksi di peringkat kalah mati Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea selain menjulang Piala Asia tahun 2000.

Hamidin yang menepis laporan media bahawa FAM serius untuk mendapatkan khidmat Troussier menegaskan, pihaknya telah menerima tiga permohonan daripada jurulatih yang memiliki pencapaian cemerlang berbanding pengendali kelahiran Perancis itu.

Difahamkan, bekas jurulatih skuad utama Liverpool, Alex Miller selain legenda Jerman, Rudi Voller adalah antara tiga individu tersebut.

“Sebenarnya ada lagi calon yang telah kemukakan permohonan (jawatan jurulatih Harimau Malaya), malah mungkin (status) mereka lebih hebat daripada Troussier.

“Permohonan kini terus meningkat setiap hari dan seperti yang saya katakan sebelum ini, itu adalah hak jurulatih yang berminat untuk menghantar permohonan mereka.

“Saya tidak dapat memberitahu siapakah individu terbabit kerana buat masa ini, peringkat (untuk mencari pengganti Rajagobal) masih belum ada dan kami sebenarnya tidak pernah membuka jawatan tersebut,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Hamidin memberitahu, pihaknya masih memberikan perhatian terhadap perkembangan Rajagobal yang diletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi membimbing Harimau Malaya layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015.

Hamidin menegaskan, buat masa ini FAM belum memberi kata putus mengenai masa depan Rajagobal yang berkemungkinan akan dilanjutkan kontraknya jika beliau berjaya mencapai KPI yang ditetapkan.

“Peluang Harimau Malaya masih belum tertutup (pada kempen kelayakan Piala Asia).

“Ini kerana perlawanan terakhir menentang Yemen bakal menjadi penentu nasib Harimau Malaya dalam saingan kelayakan Piala Asia.

“Selepas itu baru FAM akan tampil membuat satu kenyataan sama ada mahu melanjutkan kontrak Rajagobal atau sebaliknya,” katanya.