England pincang jumpa Ukraine

KIEV – Kekurangan pemain hadapan yang berkebolehan bererti England terpaksa bergantung kepada barisan serangan sementara pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia penting hari ini menentang Ukraine di Kiev.

Kemenangan 4-0, Jumaat lalu ke atas Moldova melonjakkan pasukan Roy Hodgson ke tangga teratas kelayakan Kumpulan H Eropah, tetapi kad kuning buat Danny Welbeck mengetepikan penyerang Manchester United itu daripada perlawanan hari ini.

Pemain Liverpool, Daniel Sturridge kemudiannya diketepikan kerana kejang paha dan dengan Wayne Rooney dan Andy Carroll tercedera ketika ini, keadaan itu membingungkan Hodgson sehingga ke penghujung padang.

Rickie Lambert, penyerang Southampton berusia 31 tahun, dijangka mengetuai barisan selepas menjaringkan gol dan membuka dua gol buat Welbeck ke atas Moldova ketika Jermain Defoe masih kekurangan kecergasan perlawanan.

Kepentingan perlawanan ini bererti bahawa James Milner bersedia untuk menggantikan Welbeck dengan Hodgson memuji kualiti bertahan pemain tengah Manchester City itu selepas perlawanan dengan Moldova.

“Kami tahu apa yang James boleh buat.

“James tidak berpura-pura untuk menjadi teruja seperti beberapa pemain sayap yang kadangkala kami gunakan kebelakangan ini.

“Namun, dalam perlawanan di Kiev, bakal menjadi sesuatu di mana kami perlukan pengalaman, kekuatan dan kualiti itu.

“Dia bukan sayap tetapi kualiti yang dibawanya mampu menjadi amat berguna kepada kami,” kata pengurus England itu.

Menang akan melonjak England tiga mata di puncak kumpulan, menjelang perlawanan tempat sendiri dengan Montenegro di tangga kedua dan Poland pada Oktober di mana mereka bakal menamatkan kempen kelayakan.

Jika kalah, England bakal menyerahkan teraju kepada Ukrane.

England memerlukan penalti minit ke-87 daripada Frank Lampard untuk menyelamatkan kepada seri 1-1 apabila pasukan bertemu Oktober lalu dan dengan anak buah Mykhaylo Fomenko baru sahaja membelasah San Marino 9-0, pemain tengah Chelsea itu meramalkan satu lagi perlawanan yang sukar.

“Saya kagum dengan mereka. Mereka bermula buruk dalam kumpulan tetapi menentang kami, mereka bermain dengan bakat yang banyak. Mereka ada banyak kemampuan teknikal dan kederasan pada sayap.

“Kami akan ke sana dengan menyedari mereka sebuah pasukan gagah tetapi yakin dengan kemampuan kami. Kami ada pasukan yang mendapatkan hasil, tidak syak lagi,” kata Lampard yang bersedia untuk meraih penampilannya ke-100 di Stadium Olimpik itu.

Lampard bakal menjadi pemain England kelapan yang mencapai penanda 100 penampilan, selepas Peter Shilton (125), David Beckham (115), Bobby Moore (108), Bobby Charlton (106), Billy Wright (105), Ashley Cole dan Steven Gerrard (104).

Ukraine beroleh cuma dua mata dalam tiga perlawanan pertama mereka, seri dengan England dan Moldova dan kalah di tempat sendiri kepada Montenegro tetapi mereka bakal menghadapi England yang memburu kejayaan kelima berturut-turut.

Pelantikan Fomenko pada Disember menjadi pemangkin bagi kebangkitan semula mereka dan kemenangan hebat 4-0, Jun lalu ke atas Montenegro di Podgorica lebih membuktikan betapa jauhnya kemaraan mereka.

Tuan rumah turut mengalami ketidakadilan selepas satu gol dinafikan biarpun rembatan

Marko Devic melintasi garisan ketika kalah 1-0 kepada England dalam peringkat kumpulan pada Euro 2012.

Di sebalik senarai panjang kecederaan yang turut termasuk pertahanan Glen Johnson dan Phil Jones, Fomenko berkata, pasukannya tidak akan mempertaruhkan peluang, menentang England tidak syak lagi yang terpenting bagi kami.

“Namun, baki perlawanan turut penting. Keadaan dalam kumpulan kami itu luar biasa dengan empat pasukan berpeluang sebenar untuk menduduki tempat teratas.

“Matlamat utama kami (hari ini) ialah menghalang lawan menjadi selamat di benteng dan mengancam mereka pada serangan balas. Kami tidak bimbang mengenai memperkecilkan mereka, kerana itu bakal jadi mustahil.”

Ukraine melayani pasukan tempat keempat Poland dalam perlawanan berikutnya bulan depan sebelum menyudahkan kempen mereka di gelanggang San Marino. – AFP