Dimalukan Sarawak, PAFA gantung Azraai

BERKUATKUASA semalam, ketua jurulatih, Azraai Khor Abdullah, penolong jurulatih dan semua pegawai skuad Perak digantung selama dua minggu.

Langkah drastik itu dilakukan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dua hari selepas skuad Kejor Yob Kejor tewas besar 1-6 kepada Sarawak pada aksi terakhir Kumpulan D Piala Malaysia di Kuching Sabtu lalu.

Timbalan Presiden Pafa, Khairul Azwan Harun berkata, pihaknya mengesyaki wujudnya unsur sabotaj dan rasuah membabitkan pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau yang juga pengurus pasukan Perak enggan mendedahkan identiti individu terlibat, sama ada melibatkan jurulatih, pegawai atau pemain.

“Kita boleh terima sebarang kekalahan termasuk di Kuching tetapi apa yang berlaku sangat mencurigakan, malahan Pafa mengesan perkara ini sejak tiga, empat perlawanan sebelum ini.

“Justeru, kita bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pafa, Datuk Ismail Saffian untuk menyiasat secara terperinci apa yang kami syaki ini.

“Siasatan akan dijalankan dalam tempoh dua minggu. Mereka akan melaporkan siasatan kepada Jawatankuasa Pengurusan Negeri dan Jawatankuasa Eksekutif Induk Pafa,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Pafa di Ipoh semalam.

Katanya, satu laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis di Ipoh semalam sambil berharap semua pihak dapat memberi kerjasama dalam penyiasatan tersebut.

“Apabila bermain tanpa komitmen, tiada kesungguhan dan tiada disiplin kita boleh kaitkan dengan unsur sabotaj dan mungkin wujud rasuah membabitkan wang ringgit.

“Saya sendiri telah maklumkan tindakan ini kepada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan beliau tidak mempunyai halangan kerana ia di bawah bidang kuasa persatuan negeri,” katanya.

Sepanjang tempoh penggantungan, semua jurulatih dan pegawai terlibat diwajibkan melaporkan diri di pejabat Pafa pada setiap hari dan mereka tidak dibenarkan meninggalkan bandar raya Ipoh sehingga siasatan tersebut selesai.

“Kesemua pemain yang mempunyai kontrak pula diwajibkan melaporkan diri pada esok (hari ini) dan menjalani latihan seperti biasa.

“Kita serius dalam hal ini memandangkan Perak merupakan salah satu pasukan yang komited menjaga kebajikan dan keperluan jurulatih, pegawai serta pemain,” katanya.

Jelasnya, jurulatih akademi bola sepak Pafa yang juga bekas pemain Seladang dari Australia pada musim 1993-1994, Marshall Soper dan jurulatih pasukan Yayasan Bina Upaya Perak, Sayuddin Mat Isa dilantik sebagai pengendali sementara Perak.

Beliau turut menasihati para penyokong supaya lebih adil dan terbuka serta memberi ruang kepada Pafa menyiasat punca Perak tersingkir daripada saingan Piala Malaysia musim ini.

“Ramai peminat yang hentam saya melalui laman sosial Twitter dan Facebook . Bukan saya yang tentukan kesebelasan utama, bukan saya atur taktik (perlawanan),” katanya. – Kosmo