Buru juara edisi 2013, Singapura rantai Wan Zack

Petaling Jaya: “Buktikan kita ada kelas (tahap lebih baik) dengan bergelar juara edisi kali ini”.

Itu cabaran dilontarkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong terhadap skuad Bawah 23 tahun negara yang memulakan cabaran Pestabola Merdeka 2013 dengan menentang Singapura di Kuantan, hari ini.

“Kejohanan ini tiada kelas jika skuad kita bagus namun memang inilah tahap kita sekarang. Kalau ada kelas buktikan dengan bergelar juara,” katanya ketika ditanya mengenai kejohanan tertua benua Asia itu yang dilihat sesetengah pihak semakin malap tanpa kehadiran pasukan ternama seperti dulu.

Edisi 2013 kejohanan berkenaan bakal menampilkan empat negara rantau Asia Tenggara seperti Singapura, Myanmar, Thailand dengan Malaysia akan diwakili anak buah jurulatih Ong Kim Swee sebagai medan persiapan terbaik untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar pada Disember nanti.

“Buktikan kali ini (menjuarai Pestabola Merdeka), kalau bagus saya fikir kita tidak akan bermasalah muncul juara di Myanmar nanti, namun jika sebaliknya perlulah diperbaiki dalam tempoh masa yang ada.

“Saya lihat di atas kertas kita memang kuat dengan tiada kecederaan, campuran pemain lama dan baru serta pemain baru saja pulang dari Slovakia selepas mendapat pendedahan di Eropah. Mereka seharusnya menang di Sukan SEA kerana kita tidak boleh meletakkan sasaran kurang daripada itu selepas dua kali muncul juara (edisi 2009 dan 2011),” katanya.

Sementara itu mengenai Thailand yang gagal menghantar skuad bawah 23 tahun pada kejohanan berkenaan, Zolkples menyifatkan tindakan berkenaan seolah-olah tidak menghormati semangat negara ASEAN.

“Saya harap selepas ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu membuat pertimbangan sewajarnya apabila menjemput pasukan seperti ini,” katanya.

Kali terakhir skuad negara yang turut dibarisi sebahagian besar pemain Bawah 23 tahun bergelar juara adalah pada 2007 selepas menewaskan Myanmar 3-1 di Stadium Shah Alam.

Sementara itu, Kelibat pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Noor dalam skuad bawah 23 tahun negara (B-23) mencetuskan rasa gerun jurulatih Singapura V Sundramoorthy yang menganggap pemain dari kelab Jepun FC Ryukyu itu perlu diawasi anak buahnya.

Sundramoorthy berkata, dengan kelincahan dan pengalaman dimiliki Wan Zack Haikal, pemain itu mampu memberikan masalah kepada pasukannya yang akan membuat perhitungan dengan Malaysia pada aksi pertama Pestabola Merdeka di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang hari ini.

“Dia beraksi baik sebelum ini dan saya bimbang dengan kehadirannya bersama pasukan Malaysia. Dia mempunyai kemampuan untuk menghukum pasukan lawan jika tidak dikawal,” kata Sundramoorthy.

Bagi kempen Pestabola Merdeka kali ini, Sundramoorthy menurunkan ramai pemain dari skuad juara Liga Super LionsXII berusia B-23 sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini.

Namun tanpa enam tonggak utama termasuk pemain paling bernilai Piala AFF 2012, Shahril Ishak dan pertahanan kental Baihaki Khaizan yang mengalami kecederaan dan menyertai skuad kebangsaan, pengendali itu tetap yakin persiapan mereka tetap terjejas.

“Kami akan beraksi dalam kejohanan ini tanpa enam pemain utama yang bersama skuad kebangsaan tapi bagi saya, ia tidak akan menjejaskan perancangan kami untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Mengulas mengenai pertemuan dengan pasukan tuan rumah kendalian Ong Kim Swee hari ini, Sundramoorthy berkata: “Malaysia mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri dan dengan sokongan padu penyokong mereka pasti akan membantu mereka.”