Bukan dendam, hanya mahu menang – OKS

PENGENDALI Harimau Muda, Ong Kim Swee enggan terlalu memikirkan misi untuk membalas dendam ketika anak-anak buahnya menentang Myanmar pada aksi kedua Pestabola Merdeka di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.

Sebaliknya, Kim Swee berharap barisan kendaliannya mengekalkan persembahan baik ketika mereka membenam Singapura 1-0 dalam aksi pembukaan kelmarin.

Menurut Kim Swee, kali ini anak-anak buahnya harus lebih berwaspada apabila berdepan lawan yang pernah mengecewakan mereka 2-1 pada aksi kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun di Myanmar tahun lalu.

“Myanmar hadir ke sini dengan skuad yang sama dan saya telah melihat aksi mereka ketika bertemu Thailand semalam (kelmarin). Saya mendapati semua posisi mereka berfungsi sangat baik dan corak permainan Myanmar sangat laju.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu para pemain menganggap pertemuan dengan Myanmar esok (malam ini) sebagai medan untuk kita membalas dendam kerana jika dalam diri kita ada perasaan sedemikian, kita akan bermain dalam tekanan,” jelas Kim Swee pada sidang akhbar di Kuantan semalam.

Mengulas strateginya bagi menghadapi Myanmar, Kim Swee mahu Harimau Muda memberi perhatian kepada tiga pemain iaitu kapten, Kyaw Zayar Win, pemain tengah, Kyi Lin dan penyerang, Kyaw Ko Ko yang dianggap mampu memberi kesukaran kepada barisan pertahanan.

“Ketua pasukan Myanmar (Zayar Win), pemain berjersi No. 8 (Kyi Lin) dan No. 10 (Ko Ko) merupakan nadi utama skuad itu.

“Trio itu sangat pantas dan memiliki skil individu yang sangat tinggi. Jika kami tidak merantai ketiga-tiga pemain itu nanti, pasti mereka mampu memusnahkan kita sekali lagi,” jelas Kim Swee.

Kim Swee menambah, beliau akan membuat sedikit rombakan dalam kesebelasan utamanya, namun masih belum memutuskan siapa yang bakal diturunkan nanti.

Jelasnya, perubahan itu perlu dibuat kerana sebahagian besar pemain Harimau Muda masih dalam keletihan kerana hanya mendapat rehat sehari selepas menentang Singapura kelmarin.

“Saya sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk menjerat Myanmar nanti dan jika pemain-pemain bermain mengikut arahan yang diberikan, tidak mustahil kita akan memperoleh tiga mata lagi.

“Kami sudah belajar daripada kekalahan kepada Myanmar sebelum ini dan malam esok (malam ini) kami pasti akan tampil dengan aksi lebih garang,” ujarnya. -Kosmo