BPL: Ozil buktikan kehebatan

LONDON – Pemain termahal Arsenal, Mesut Ozil sekali lagi memberi impak besar kepada pasukan baharunya itu dalam membantu kemenangan berharga 3-1 ke atas Stoke City di The Emirates malam tadi sekali gus melonjakkan The Gunners menerajui Liga Perdana England.

Ozil, 24, yang dibeli dari Real Madrid dengan harga 50 juta euro (RM213.9 juta) pada penghujung jendela perpindahan musim panas lalu terlibat dalam ketiga-tiga jaringan Arsenal.

Seawal minit kelima, satu sepakan percuma yang diambil oleh Ozil tepat kepada penjaga gol Stoke, Asmir Begovic yang sekadar menampan bola tersebut.

Bola yang muntah itu kemudian jatuh di depan kaki Aaron Ramsey yang tidak melepaskan peluang membuat satu rembatan padu yang gagal diselamatkan untuk Arsenal mendahului 1-0.

Memasuki minit ke-26, Stoke berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan menarik pemain Amerika Syarikat, Geoff Cameron.

Sepuluh minit kemudian, Arsenal sekali lagi di depan menerusi jaringan Per Mertesacker yang menanduk masuk sepakan penjuru yang diambil Ozil.

Selepas itu, pada minit ke-72, Ozil sekali lagi membuat hantaran cantik menerusi sepakan percuma yang kemudian disempurnakan oleh Bacary Sagna di depan pintu gol Stoke. – Agensi

Highlights