BAM dakwa Rashid seorang penipu

Kuala Lumpur: “Siapa ludah siapa? Rashid Sidek menandatangani kontrak bersama sebuah kelab di India sedangkan terikat dengan kami dari Januari 2013 hingga Disember 2014,” kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang berang tindakan jurulatih kebangsaan itu meletak jawatan atas alasan tidak sesuai bekerja dengan sistem baru diperkenal badan induk itu.

Tengku Mahaleel ketika mengadakan sidang akhbar tergempar semalam bagi menjawab alasan diberikan Rashid, menuduh jurulatih itu yang ‘menyeleweng’ daripada tugasannya apabila terbabit dengan Liga Badminton India (IBL) apabila menandatangani kontrak setahun bersama kelab Delhi Smashers.

“Kami ada bukti berdasarkan akhbar India yang melaporkan Rashid mengikat kontrak bersama kelab itu ketika masih terikat dengan BAM. Mana boleh seorang pekerja ada dua majikan pada satu masa, kami akan menggunakan saluran undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap Rashid,” kata Tengku Mahaleel.

Sebelum ini Rashid menyatakan mendapat pelepasan daripada majikannya, iaitu pengurusan lama BAM, namun Tengku Mahaleel menegaskan perkara itu tidak pernah berlaku dan pada masa sama beliau turut tidak membenarkan Pengurus Besar BAM Kenny Goh menjawab sama ada pengurusan lama sedar mengenai perkara itu atau sebaliknya.

“Kami akan merujuk kepada kelab di India, jika benar Rashid menandatangani kontrak, kami akan teruskan prosedur terhadapnya.”

Tengku Mahaleel menambah, pihaknya masih belum membuat keputusan sama ada menerima atau menolak surat peletakan jawatan Rashid itu.

Menurutnya, ia disebabkan jawatankuasa undang-undang BAM akan mengadakan mesyuarat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berkenaan perkara tersebut.

Tengku Mahaleel berkata, BAM tidak meratapi kehilangan Rashid disebabkan mereka mempunyai begitu ramai barisan kejurulatihan yang masih mampu menggalas tugasan yang ditinggalkan oleh bekas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 itu.

“Jika dilihat melalui pemantauan pihak kami, 70 peratus sesi latihan (Datuk) Lee Chong Wei adalah di bawah pengawasan Tey Seu Bock.

“Saya rasa, tindakan yang dilakukan oleh Rashid itu bukanlah satu kehilangan besar kepada kami. Biarlah dia pergi, kami telah mempunyai perancangan tersendiri dalam merencana pembangunan badminton negara pada masa depan.

“Terdapat empat kejohanan utama tahun depan iaitu Piala Thomas, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.

“Kita perlu membuat perubahan kepada sistem sekarang jika kita mahu satu pasukan kita menang,” kata Tengku Mahaleel.

Kelmarin, Rashid, 45, yang masih mempunyai kontrak sehingga Disember 2014, membuat kejutan apabila meninggalkan BAM selepas 10 tahun berkhidmat bersama badan induk itu.

Tindakan itu dibuat gara-gara rasa tidak puas hati Rashid terhadap pihak pengurusan baharu BAM yang telah merombak struktur kejurulatihan.