Ayuh sokong Harimau Muda

KUANTAN – Harga tiket sudahpun diturunkan. Sekarang tiada alasan lagi buat penyokong Harimau Muda untuk tidak memberi sokongan kepada pasukan negara yang bakal menentang Thailand, apatah lagi Ong Kim Swee berjanji akan memperagakan aksi terbaik untuk memburu tiga mata di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Walaupun sudah menempah tiket final sebaik menumpaskan Myanmar 2-1 kelmarin, skuad bawah 23 tahun negara berjanji bakal turun bersama fokus untuk menang kerana keputusan seri hanya akan membantutkan momentum kemenangan yang sudah dicipta sejak hari pertama saingan. Malaysia memulakan kempen dengan menewaskan Singapura 1-0.

“Tidak timbul sama sekali soal kami akan bermain untuk seri dalam perlawanan ini.

“Sebaliknya kita tetap cuba memburu tiga mata demi penyokong yang hadir ke stadium.

“Saya tahu Myanmar juga mahukan kita menang jika mereka hendak layak ke final, sambil mereka sendiri harus meraih tiga mata dalam perlawanan terakhir menentang Singapura.

“Kami akan ulangi persembahan yang sama seperti mana yang kami lakukan sebelum ini dengan bermain bersungguh-sungguh dan fokus mendapatkan kemenangan,” kata Kim Swee pada sidang akhbar di Hotel Zenith, semalam.

Biarpun Kim Swee telah menjelaskan hasratnya untuk menurunkan ramai pemain simpanan dan merehatkan beberapa tonggak utama, tetapi beliau mengingatkan bahawa mereka tidak akan mengambil mudah perlawanan itu kerana tidak rela kalah di depan penyokong setia Malaysia.

Jika Thailand menang atau seri ke atas Malaysia, mereka akan melayakkan diri ke perlawanan akhir tanpa perlu menunggu keputusan Myanmar dan Singapura di Stadium Temerloh.

Namun segalanya akan berbeza jika skuad bimbingan Kairung Threejagsang itu kalah, dan Myanmar pula mengalahkan Singapura dengan kelebihan dua gol.

Layak ke perlawanan akhir lebih awal nyata melegakan Kim Swee kerana dapat merehatkan pemain utamanya yang sudah kepenatan selepas terpaksa beraksi dua perlawanan dalam masa tiga hari.

”Bagi saya satu perkembangan baik kerana kita berjaya layak lebih awal dan persediaan yang lebih teratur kerana para pemain pasti akan lebih cergas kerana bukan mudah untuk beraksi tiga perlawanan dalam masa enam hari.

”Selepas dua perlawanan, saya fikirkan ini adalah masanya untuk merehatkan pemain utama sebelum perlawanan akhir dan berikan peluang kepada pemain yang belum diturunkan.

”Beberapa pemain seperti Thamil digantung satu perlawanan, Wan Zack mengalami sedikit kesakitan di bahagian buku lali dan Reuben masih belum pulih daripada kecederaan,” katanya.

Beberapa nama seperti Syahrul Azwari, Shahrul Saad, Muhd. Ferris Danial dan Nazirul Naim Che Hashim dijangka mendapat peluang untuk diturunkan dalam kesebelasan utama, hari ini.

Bagi jurulatih Thailand, Threejagsang, dia melihat Malaysia adalah pasukan terbaik dalam kejohanan ini.

Pengendali skuad Gajah Putih itu turut memuji kelincahan pemain sayap lincah Malaysia, Wan Zack Haikal yang disifatkan sebagai bintang utama Harimau Muda.

”Malaysia adalah sebuah pasukan yang kuat dan kami akan mengubah sedikit cara permainan terutama daripada segi serangan.

”Tambahan kami juga kehilangan ketua pasukan, (Mahamasabri Awabuesa) kerana digantung satu perlawanan selepas mendapat dua kad kuning, kami terpaksa mengharapkan pemain lain.

”Kami akan berhati-hati dengan pemain nombor 10 (Wan Zack).

“Dia mempunyai skil yang hebat dan rembatan yang bagus,” katanya.