Atletico kejutkan Real Madrid

MADRID – Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti akur dengan kekalahan 0-1 mereka kepada Atletico Madrid dalam aksi Liga Sepanyol di Stadium Santiago Bernabeu awal pagi semalam.

Biarpun tampil dengan pemain termahal dunia, Gareth Bale sebagai pemain gantian pada babak kedua, The Galacticos tetap gagal membawa pulang tiga mata berharga.

Penyerang Atletico, Diego Costa muncul wira pelawat apabila meledak gol tunggal perlawanan seawal minit ke-11.

Meskipun kembali mengasak pada babak kedua, Ancelotti akur dengan keputusan itu.

“Atletico berhak memenangi perlawanan ini. Mereka berjaya bertahan dengan baik dan berjaya menjaringkan gol menerusi satu serangan kilat.

“Ini menunjukkan betapa pasukan mereka cukup seimbang dalam segenap posisi,” kata Ancelotti.

Menurut beliau, Real perlu mempamerkan corak permainan yang pantas jika berhasrat memenangi mana-mana perlawanan selepas ini.

“Kami berdepan masalah yang sama dalam beberapa perlawanan terdahulu.

“Pemain dilihat agak lambat melancarkan serangan dan ia memberikan masalah besar jika berdepan pasukan bertahan seperti Atletico,” jelas Ance- lotti. – AFP