Amri akui sedang runding pasukan baru

Kuala Lumpur: Penyerang berbisa Selangor, Amri Yahyah mengakui hatinya masih setia bersama Selangor walaupun mendapat tawaran lumayan dari beberapa kelab termasuk Johor Darul Takzim (JDT) musim depan.

Bagi Amri yang mula menyarung jersi Merah Kuning sejak 2001 dan terus setia hingga sekarang, pahit manis bersama Selangor adalah titik penting dalam kariernya sebagai pemain profesional dan ia tidak ada galang gantinya.

“Hati saya sentiasa bersama Selangor, tetapi sebagai pemain profesional saya perlu memikirkan masa depan dan menilai pasukan mana yang benar-benar mahukan khidmat saya,” kata Amri yang dikatakan bakal menerima kontrak setahun mencecah RM1 juta dari JDT.

“Memang saya ada mendapat tawaran dari beberapa kelab tetapi jumlah gaji belum ditetapkan. Ia masih dalam proses rundingan dan saya juga masih menanti tawaran memperbaharui kontrak dari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

“Jumlah yang disebutkan dalam akhbar hari ini (semalam) belum pasti lagi. FAS juga belum memberi kata putus tetapi jika mereka melepaskan saya, mungkin saya terpaksa menerima tawaran dari kelab lain.”  – BH