Aik Mong pula tinggalkan BAM

Kuala Lumpur: Sah! Tan Aik Mong meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff sendiri membuat pengesahan itu semalam, namun menegaskan Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG) itu bukannya meletak jawatan, sebaliknya menarik diri daripada membantu badan induk badminton negara itu melakukan perubahan.

“Beliau bukannya meletak jawatan, sekadar menarik diri. Beliau hadir dengan sukarela membantu, tidak dibayar gaji,” kata Tengku Mahaleel.

Presiden BAM itu berkata, Aik Mong seorang yang cukup terhormat dengan keikhlasan mahu membantu mengubah landskap badminton negara ke tahap lebih baik, namun beliau memahami penolakan yang wujud dalam kem negara.

“Beliau menarik diri daripada projek pemulihan badminton kerana tidak mahu situasi menjadi lebih teruk dengan pergolakan dalam kalangan jurulatih serta pemain. Beliau rela meninggalkan BAM demi memastikan sistem dan program baru yang diperkenalkan ini berjalan.” Aik Mong tanpa keluhan, sebenarnya terguris dengan reaksi daripada barisan jurulatih terutamanya selepas Rashid Sidek meletak jawatan Khamis lalu.

Dalam pada itu, Tengku Mahaleel yakin Aik Mong tidak melakukan kesalahan dan keyakinan kini disandarkan kepada program yang sudah dirancang, yang pasti mampu digerakkan meskipun tanpa Aik Mong.

“Kita sudah membentuk program yang amat baik. Dua kumpulan asal masih ada dan kali ini lebih telus dengan tiada jaminan untuk pemain BAM berasa selesa kerana pemain dari kelab juga akan mendapat kelebihan seandainya berjaya mengatasi pemain kami.

“Program ini cukup komprehensif dan tetap boleh berjalan tanpa Aik Mong yang sama-sama membentuknya.

“Penerimaan pada awalnya memang sukar sehingga memberi tekanan kepada jurulatih dan pemain tapi kini mereka mula memahami. Apa yang pasti mereka tidak boleh bekerja tanpa tekanan sasaran yang jelas,” kata Tengku Mahaleel.

Sementara itu, Tengku Mahaleel berkata, beliau sudah menemui Rashid semalam dan mendapat penjelasan jelas daripada jurulatih itu.

“Kontrak yang ditandatangani Rashid dengan kelab India di Liga Badminton India (IBL) tidak bercanggah. Kini semuanya bergantung kepada Rashid kerana sehingga kini saya tidak mengesahkan peletakan jawatannya. Beliau boleh menarik balik, jika mahu,” tegas Mahaleel. – HMetro