8 pemain Selangor bakal angkat kaki!

Baru saja tersingkir daripada saingan Piala Malaysia, Selangor kini hampir pasti terpaksa pula melepaskan lapan tonggaknya ke pasukan lain, musim depan.

Ini dikhabarkan penajaan RM8 juta setahun daripada Menteri Besar Incorporated (MBI) tidak mampu menandingi tawaran gaji lumayan oleh dua kelab berbelanja besar, Johor Darul Takzim (DT) dan FELDA United.

Johor DT dilaporkan menawarkan Amri Yahyah gaji RM1 juta setahun atau RM85,000 sebulan manakala tiga lagi pemain – penjaga gol Norazlan Razali, Mahalli Jasuli dan kapten Asraruddin Putra Omar – dikatakan bakal mendapat gaji antara RM40,000 hingga RM60,000 sebulan bersama kelab Harimau Selatan itu.

Empat pemain iaitu Nasriq Baharom, S Kunanlan, Solihin Kanasian dan Adib Aizuddin Ab Latif pula dikhabarkan bakal mengikut jejak bekas jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim apabila turut ditawarkan gaji lumayan bersama FELDA United yang berhajat besar naik semula ke Liga Super 2015 – BH