14 warga Singapura ditahan terlibat rasuah

LYON 20 Sept. – Enam daripada 14 warga Singapura yang ditahan dalam satu operasi khas Selasa lalu disyaki terbabit rasuah bola sepak dan mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes yang sama di Eropah.

Interpol dalam kenyataannya berkata, perancang utama rangkaian global itu antara yang ditahan dalam tangkapan yang dibuat di Singapura itu, yang turut melibatkan dua orang wanita.

“Daripada 14 yang ditahan itu, enam daripada mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes yang sedang disiasat di Itali, Jerman, Finland dan Hungary termasuk beberapa individu yang sedang didakwa.

“Kesemua mereka adalah warga Singapura,” kata pegawai kanan Interpol, Ronald K. Noble. – Agensi