Video – Belasah bini dalam lif, Polis buru suami

Bukit Mertajam: “Saya sudah tawar hati sebab itu tidak menangis ketika dipukul,” kata wanita yang menjadi mangsa belasahan suaminya ketika mereka berada dalam lif sebuah hospital swasta, di sini, yang rakaman kejadian itu tersebar di Facebook dan YouTube.

Wanita yang enggan dikenali berusia 36 tahun itu juga bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap suaminya kerana bertindak keterlaluan dengan memukul serta menendangnya.

Menceritakan kejadian pada Isnin lalu, wanita itu berkata, dia serta dua anaknya berusia empat dan lima tahun mahu pulang selepas melawat anak sulung berusia sembilan tahun yang dirawat di hospital terbabit kerana demam panas.

“Kebetulan saya bertemu suami yang turut melawat anak sulung, tetapi kami tidak bertegur sapa. Ketika hendak pulang, suami mengikut kami masuk ke dalam lif sambil meminta saya memujuk anak supaya mengikutnya.

“Bagaimanapun, anak perempuan kata dia nak ikut saya dan tidak mahu mengikut ‘daddy’ menyebabkan suami berang lalu memukulnya,” katanya ketika ditemui semalam.

Mangsa yang sudah tinggal berasingan dengan suaminya berusia 36 tahun berkata, suaminya kemudian menampar mukanya beberapa kali, walaupun dua anaknya melihat kejadian itu.

RAKAMAN CCTV mangsa di belasah suami.

“Saya keluar dari lif sebaik pintu terbuka tetapi suami menendang paha kiri hingga saya terjatuh,” katanya yang membuat laporan polis selepas mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya, dekat sini, pada hari sama.

Suami mangsa sudah berkahwin dengan wanita lain pada 2011 dan bekerja di sebuah agensi kerajaan di Jerantut, Pahang.

Mangsa berkata, dia pernah meminta suaminya menceraikannya tetapi dia dicabar supaya pergi ke pejabat agama.

Adik mangsa, Mohd Yunus Ahmad Ramli, 31, mengakui dia memuatkan video kakaknya dipukul ke dalam Youtube selepas dihantar seorang abangnya dan berharap pihak polis mengambil tindakan lanjut.
Rakaman video seorang isteri dibelasah suaminya yang tersebar di laman Youtube sejak semalam kini sedang disiasat pihak polis.

Rakaman berdurasi 2 minit 20 saat itu bukan sahaja memaparkan aksi seorang isteri dipukul bertubi-tubi oleh suaminya malah turut diterajang lelaki terbabit di hadapan dua anak mereka di dalam lif.

Difahamkan, kejadian berlaku di lif sebuah hospital di Bandar Perda, Bukit Mertajam, kira-kira jam 4 petang, 12 Julai lalu.

Kejadian dikatakan berpunca akibat salah seorang anak mangsa enggan mengikut bapanya pulang.  

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, polis sudah menerima laporan daripada mangsa berusia 36 tahun pada hari kejadian dan sedang memburu lelaki berkenaan.

Mazlan berkata, lelaki berusia 36 tahun itu adalah seorang penjawat awam dan bertugas di Jerantut, Pahang.

“Polis ke pejabatnya di Pahang pagi tadi, namun lelaki itu dimaklumkan tidak hadir bekerja.

“Tindakan suami itu keterlaluan kerana memukul isteri di hadapan anak yang baru berusia empat dan lima tahun,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam di pipi, bengkak kepala dan sakit di bahagian pergelangan tangan.

Mazlan berkata, polis sudah mendapatkan perintah perlindungan sementara (IPO) untuk menghentikan perbuatan suaminya dan memberi perlindungan kepada mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.