TMJ sanggup bayar pengadil profesional

JOHOR BAHRU – Presiden Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyuarakan kesanggupan beliau untuk membelanjakan wang sendiri bagi membayar khidmat pengadil profesional yang mengadili perlawanan Liga Malaysia (Liga M) seandainya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mampu membiayai gaji mereka.

Tunku Mahkota Johor itu berkata demikian semata-mata mahu meningkatkan mutu pengadilan perlawanan Liga M yang dilihat terlalu lemah berpunca sama ada daripada aspek pengetahuan pengadil sedia ada ataupun dibelenggu masalah rasuah.

“Isu pengadil berat sebelah ini bukan perkara baru, malah saya sering ulang dan akan sentiasa mengulanginya selagi FAM tidak mengambil langkah-langkah serius mengatasinya.

“Ia bukan satu masalah yang tidak boleh diselesaikan tetapi apabila wujud sifat tidak amanah oleh individu dalaman yang tidak bertanggungjawab, ia sekali gus mampu menghancurkan masa depan arena bola sepak tempatan,” katanya dalam satu sidang akhbar di Istana Bukit Pelangi, di sini semalam.

Tambah beliau, FAM tidak seharusnya cepat melatah dengan menghukum persatuan bola sepak negeri sewenang-wenangnya, sebaliknya ‘bersihkan’ dahulu masalah yang wujud dari sudut aspek pengurusan dan pentadbiran bola sepak negara.

“Tanda-tanda berlakunya gejala rasuah dan mengatur perlawanan dalam bola sepak di negara ini sudah ada, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga mempersoalkan dolak-dalih FAM yang sebelum ini mengatakan pernah membalas aduan rasmi yang telah dibuat oleh PBNJ, sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku.

Katanya, PBNJ tidak pernah menerima sebarang maklum balas secara bertulis daripada FAM terhadap laporan yang dihantar kepada mereka video serta gambar.

“Kalau pegawai FAM tidak mahu buat kerja atas laporan yang telah dibuat, sila letak jawatan dan biarkan ia diisi oleh individu lain yang lebih layak.

“Kualiti permainan oleh pemain semakin meningkat tetapi sayangnya ia dicacatkan pula mutu pengadilan yang tidak memuaskan,” tambahnya.

Sementara itu, mengulas mengenai video yang merakamkan tindakannya memarahi seorang pengadil baru-baru ini, beliau berkata ia hanyalah satu tuduhan semata-mata.

Sebaliknya, menurut Tunku Ismail, beliau hanya mahukan penjelasan daripada pengadil terbabit yang pada pandangannya membuat keputusan salah ketika mengadili perlawanan antara Johor Darul Takzim dan Felda United, baru-baru ini.

“Saya bukan memarahi pengadil itu. Cuma saya mahukan jawapan atas beberapa keputusan pengadil itu yang saya yakin ia tidak patut dikenakan terhadap pasukan Harimau Selatan.

“Sampai sekarang saya menunggu jawapan yang sewajarnya dan tiada siapa pun yang boleh menjawabnya,” katanya.

Justeru, beliau mahu FAM lebih tegas dalam menyatakan pendirian mereka dan bertindak segera terhadap laporan yang telah dibuat. – Utusan