Suprima S model terbaru Proton

Kuala Lumpur: Teka-teki mengenai nama model terbaru keluaran PROTON yang akan dilancarkan secara rasminya pada Sabtu ini, akhirnya terjawab apabila model hatchback lima pintu dengan enjin berkuasa Turbo 1.6 liter itu dikenali sebagai Proton Suprima S.

Pengenalan model berkenaan adalah kesinambungan daripada kejayaan model Proton Preve sedan yang dilancarkan pada pertengahan tahun lalu dan kelahiran Proton Suprima S pula lebih dikenali Preve Hatchback dengan menggunakan kod P3-22A.

Pelancaran rasmi model berkenaan akan disempurnakan oleh Penasihat PROTON Holdings Berhad, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE pada jam 9.30 pagi, Sabtu ini. Turut hadir, Pengerusi Eksekutif PROTON, Tan Sri Mohd Khamil Jamil.

Proton pada Jun lalu, melancarkan peraduan “Nama Siapa Hebat” yang terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menamakan model kompak terbarunya dengan hadiah utama berupa sebuah model baru versi Premium beserta hadiah pakej pelancongan, wang tunai dan gajet elektronik bernilai lebih RM120,000.

Sumber industri berkata, antara ciri menarik model berkenaan ialah reka bentuknya yang lebih aerodinamik dengan gaya kereta Eropah manakala ruang dalaman dan but lebih luas.

“Kelahiran model ini adalah selari dengan perkembangan semasa industri automotif yang kini menyaksikan model hatchback diperkenalkan sejurus selepas sesebuah model sedan dilancarkan.

“Model ini dijual pada harga lebih RM70,000 seunit kerana dipadankan dengan enjin berkuasa Turbo dan menjadi model kereta pertama di negara ini yang menggunakan radio Android keluaran Blaupunkt yang mempunyai fungsi untuk melayari Internet,” katanya.

Beliau berkata, dengan sentuhan kejuruteraan Lotus yang terkenal daripada segi aspek teknologi enjin dan pemanduan, model baru itu mampu memikat golongan muda yang gemarkan kereta yang lebih sporty serta kompak. Ciri keselamatan lain ialah sistem brek anti kunci (ABS), EBD, beg udara SRS berkembar, kawalan cengkaman (TC), pengawal stabiliti elektronik (ESC) dan lampu hadapan automatik.

Ciri lain termasuk butang kawalan di stereng, pedal penukar gear di stereng, butang pemula, auto cruise, pengelap cermin automatik, sistem audio sambungan Bluetooth, USB, iPod dan navigasi GPS.