Status Harimau Malaya lawan Grenada diketahui hari ini

KUALA LUMPUR – Status perlawanan persahabatan Harimau Malaya dan pasukan di tangga 122 dunia, Grenada yang sepatutnya berlangsung pada 6 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil atau Stadium Shah Alam, bakal diketahui hari ini atau selewat-lewatnya esok (hari ini).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, sehingga kini pihaknya masih menantikan maklum balas daripada Persatuan Bola Sepak Grenada yang masih belum memberikan sebarang jawapan sama ada mahu turun beraksi di Kuala Lumpur atau sebaliknya.

Jika hajat mengadakan perlawanan persahabatan kelas A dengan pasukan dari Kepulauan Caribbean itu tidak kesampaian, FAM masih mempunyai perancangan tersendiri mencari pasukan pengganti buat Harimau Malaya.

“Sehingga sekarang, kita masih menunggu maklum balas dari Grenada yang masih membisu dan saya sendiri belum dapat mengesahkan perlawanan pada 6 September ini yang sepatutnya berlangsung di sini, dapat dilangsungkan.

“Mungkin esok (hari ini) atau Selasa saya akan mendapatkan kepastian muktamad pendirian sebenar Grenada dalam soal ini kerana tarikh perlawanan yang dirancang hanya tinggal kurang dua minggu daripada sekarang.

“Jika aksi menentang Grenada tidak menjadi, FAM sudah ada cadangan alternatif untuk menggantikan perlawanan tersebut dengan pasukan lain, cuma saya tidak memberitahunya terlebih dahulu agar tidak menjadi sebarang spekulasi,” katanya.

Skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal setakat ini telah mengesahkan pertemuan dengan pasukan di ranking 95 dunia, China di Shanghai yang dijadualkan pada 10 September ini dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), 10 Oktober bagi mengasah taring sebelum turun menghadapi ujian sebenar di kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain pada 15 Oktober di Shah Alam.

Harimau Malaya yang kini jatuh tiga anak tangga bagi ranking terbaharu dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) pada 8 Ogos lalu untuk berada di tempat ke-162, masih belum merasai sebarang aksi persahabatan kelas A sepanjang tahun ini, malah lebih cenderung mengadakan perlawanan-perlawanan dengan pasukan kelab seperti di Australia dan Jepun.

Sekiranya gagal mendapatkan perlawanan dengan Grenada, ia pasti menambahkan kekecewaan para peminat yang mahu melihat aksi Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan kelas A bagi membantu kedudukan ranking negara yang semakin menjunam tetapi Hamidin memberi jaminan dia melakukan sedaya yang mampu. – Utusan