Siapa Peter (James) Butler? – Zolkples

“SIAPA Peter (James) Butler? Setakat yang saya kenal, beliau suka mencetuskan masalah dan saya sendiri tidak tahu sejauh mana kebolehan beliau.”

Demikian tegas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong ketika mengulas mengenai kenyataan bekas jurulatih Kelantan, Terengganu dan T-Team itu yang mempertikai pelantikan Lim Teong Kim sebagai Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara baru-baru ini.

“New Director or Youth Development! Don’t know him, however give him a chance – obviously cheap option but what do you expect here #belucky.” Itu antara kata-kata Butler yang mempertikai pelantikan Teong Kim dalam laman sosial Twitter miliknya baru-baru ini,

“Segalanya sudah jelas. Pemilihan Teong Kim dilakukan menerusi proses terperinci, malah melibatkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

“Pandangan saya terhadap Butler sangat mudah. Seandainya dia seorang yang bagus, sudah pasti dia berada dalam senarai yang harus dipertimbangkan.

“Sebaliknya nama beliau tidak pernah disebut sebagai calon layak melatih mana-mana program di bawah kendalian MSN,” kata Zolkples di Bukit Jalil semalam.

Dengan beberapa kontroversi yang dicetuskan Butler sebelum ini, Zolkples menganggap pengendali kelahiran Halifax, England itu sebagai pencetus masalah (trouble maker).

“Tengok saja sejarah dia yang bukan saja di sini tetapi di negara luar seperti Thailand dan Indonesia yang dikhabarkan penuh dengan masalah.

“Ada saja kontroversi yang tercetus setiap kali beliau mengendalikan pasukan atau kelab bola sepak.

“Jangan lupa juga bagaimana dia memporak-perandakan dan menghentam pengurusan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT).

“Tapi kalau dah syok sendiri, kita pun tak boleh buat apa,” katanya.

Zolkples turut memberi amaran jika Butler terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan mencemarkan imej negara, jurulatih berusia 47 tahun itu akan berdepan tindakan undang-undang.

“Pihak berwajib harus lihat adakah perlu beliau terus berada di negara kita,” katanya.

Kosmo! sebelum ini pernah melaporkan kenyataan Butler menerusi laman Twitter miliknya sehingga mencetuskan kemarahan Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh. – Kosmo!