Siapa pengganti Rajagobal?

Kuala Lumpur: Siapa calon sesuai mengambil alih tempat Datuk K Rajagobal apabila kontraknya sebagai ketua jurulatih kebangsaan tamat Disember ini mula hangat diperkatakan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kelmarin menyatakan mereka sudah ‘terbuka hati’ mencari penggantinya.

Biarpun ada kemungkinan kontrak Rajagobal akan disambung jika melepasi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) ditetapkan FAM andai Harimau Malaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia, namun dengan prestasi merudum sepanjang tahun ini badan induk itu mula sedar mereka perlu bersedia lebih awal.

Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas mempengerusikan Mesyuarat Teknikal dan Pembangunan kelmarin berkata, mereka akan terus memberi sokongan kepada Rajagobal dan menuntut kebangkitan skuad itu namun dalam masa sama mencari calon jurulatih sesuai bagi mengisi kerusi panas itu.

Jawatankuasa itu mengakui ada menerima beberapa permohonan daripada jurulatih berminat namun tidak mendedahkan identiti berkenaan sama ada pengendali tempatan ataupun luar negara.

Antara jurulatih yang kini dikaitkan sebagai calon pengganti Rajagobal adalah Robert Alberts namun pengendali skuad Liga Perdana Sarawak itu menafikan beliau ada menawarkan diri kepada FAM.

“Saya tahu mengenai perkara ini apabila ramai bertanyakan sama ada saya akan menjadi jurulatih skuad kebangsaan. Apa yang saya boleh katakan, tiada sebarang perbincangan antara saya dengan FAM setakat ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Namun ketika ditanya sama ada beliau berminat sekiranya mendapat tawaran membimbing skuad kebangsaan, pengendali kelahiran Belanda itu berkata: “Mana-mana jurulatih pasti akan berminat jika mendapat tawaran, bagi saya ia satu penghormatan. Jika benar ada tawaran FAM, saya memang berminat untuk mengadakan perbincangan. Tapi buat masa ini Rajagobal masih lagi jurulatih skuad kebangsaan dan saya pula fokus dengan Sarawak.” Alberts bukan individu asing di Wisma FAM, Kelana Jaya apabila pernah menjadi Pengarah Teknikal pada 2007 hingga 2009 serta turut dikenali dalam kancah bola sepak tempatan apabila pernah membimbing Kedah bagi musim 1992-1995 selain membantu Sarawak menjulang kejuaraan Liga Perdana dengan rekod tanpa kalah musim ini.

Selain berpengalaman mengendalikan beberapa kelab di Indonesia, Alberts, 58, turut dilantik mengendalikan skuad bawah 17 tahun Korea Selatan pada 2002-2004.

Dalam pada itu nama bekas jurulatih Singapura Radojko Avramovic (gambar) turut menjadi sebutan selepas beliau sebelum ini dilaporkan sudah menghantar permohonan rasmi kepada FAM, termasuk profil peribadi pada 2 April lalu bagi memaklumkan hasratnya menjadi jurulatih Harimau Malaya jika ada kekosongan.

Avramovic yang lebih mesra dengan panggilan Raddy dianggap antara jurulatih paling berjaya di rantau Asia Tenggara apabila membimbing skuad Singa merangkul tiga kejuaraan Piala AFF. Pada penghujung 2001, dia menjadi jurulatih skuad kebangsaan Kuwait dan pasukan itu dinobat juara Asia Barat 2002 selain membawa negara itu mara ke suku akhir Sukan Asia Busan, Korea Selatan pada tahun sama.

Bagaimanapun calon tempatan mungkin tetap menjadi pilihan FAM dan tidak dinafikan jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee juga mempunyai peluang berdasarkan reputasinya cemerlangnya membimbing pemain muda negara mempertahankan pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011.

Tapi dengan tugasannya bersama skuad Bawah 23 tahun negara di Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini, FAM lebih cenderung untuk membiarkan Kim Swee memberi tumpuan kepada misi itu buat masa ini.

JODOH B. Sathianathan sebagai pengendali Harimau Malaya terlerai pada Februari 2009 selepas dipecat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara mengkritik Liga Malaysia.

Tugas beliau ketika itu kemudiannya diambil alih oleh Datuk K. Rajagobal yang akhirnya berjaya menamatkan penantian negara selama 20 tahun memburu kemilau emas temasya Sukan SEA 2009 di Laos.

Kini, nama Sathianathan kembali disebut-sebut untuk kembali menerajui Harimau Malaya ekoran prestasi hambar skuad kendalian Rajagobal sejak kebelakangan ini.

Namun, pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu mengakui, beliau belum bersedia menggalas tanggungjawab tersebut sekali lagi dalam masa terdekat.

Bukannya ‘merajuk’ dengan FAM, Sathianathan sebaliknya menganggap tanggungjawab sebagai jurulatih Harimau Malaya cukup berat buat beliau.

“Tidak timbul langsung soal kecil hati dengan FAM tetapi belum tiba masanya.

“Harapan peminat terhadap skuad kebangsaan ketika ini terlalu besar dan saya belum bersedia untuk kembali menerajui Harimau Malaya.

“Jadi, ada baiknya saya kekal fokus membantu ATM buat masa ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Terdahulu, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak menolak kemungkinan mencari pengganti Rajagobal sebaik kontrak jurulatih berusia 57 tahun itu tamat pada 31 Disember depan.

Selain Sathianathan, antara nama-nama lain yang disebut-sebut menggantikan tempat Rajagobal termasuklah bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic; jurulatih Sarawak, Robert Alberts dan juga pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee.

Namun, Sathianathan berkata, beliau hanya bersedia menerajui skuad Bawah 15 tahun (Harimau Muda D) sekiranya diberikan peluang membentuk skuad pelapis negara.

“Saya yakin dengan pengalaman yang dimiliki, saya mampu memberikan yang terbaik buat skuad muda negara,” katanya.

Pada masa sama, Sathianathan juga ingin berkongsi ‘formula’ dengan mana-mana individu yang bakal menjadi jurulatih Harimau Malaya selepas ini.

“Bagi saya, skuad kebangsaan sepatutnya membariskan pemain yang puratanya berusia 29 tahun.

“Ini kerana pengalaman pemain lama dilihat mampu membantu pemain muda beraksi lebih yakin di peringkat tertinggi.

“Konsep saya mudah. Siapa yang terbaik itulah pemain yang saya pilih beraksi buat skuad kebangsaan, tidak kira dia masih muda ataupun telah berusia,” katanya.