Seri Dengan Lion XII Petanda Baik Untuk Kempen Kedah – Mukhriz

ALOR SETAR, 21 Ogos (Bernama) — Keputusan seri 2-2 pasukan Kedah menentang Lions XII, Singapura dalam perlawanan bola sepak malam tadi merupakan permulaan baik untuk kejayaan kempen Piala Malaysia negeri, musim ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata ia merupakan kejayaan terbaik untuk pasukan Hijau Kuning dan mereka perlu meneruskan rentak yang konsisten dalam mengharungi saingan Piala Malaysia.

“Nampaknya di Malaysia ini, Kedah adalah satu pasukan yang boleh mengikat kedudukan seri di Stadium Jalan Besar, Singapura. Saya harap ia (prestasi baik ini) akan berterusan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Jamuan Aidilfitri Majlis Sukan Negeri Kedah di sini Rabu.

Beliau berharap penyokong pasukan Kedah akan membanjiri Stadium Darul Aman bagi memberi sokongan padu kepada pemain setiap kali ada perlawanan untuk menaikkan semangat para pemain.

Mukhriz dijangka hadir bersama penyokong pasukan Hijau Kuning pada perlawanan Kedah menentang Perak di Stadium Darul Aman Sabtu ini (24 Ogos).

Kedah yang berkongsi satu mata dengan Lions kini berada pada kedudukan kedua Kumpulan D di belakang pendahulu kumpulan, Perak.

Kedah yang kini dibimbing oleh Datuk Ahmad Shafie pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak empat kali pada tahun 1990, 1993, 2007 dan 2008.

Mukhriz dalam kenyataannya sebelum ini meletakkan sasaran skuad Hijau Kuning menjuarai kejohanan Piala Malaysia musim ini, yang bermula semalam.

Katanya meskipun berhadapan tugas sukar, tetapi beliau berazam untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Kedah yang pernah memenangi tiga kejuaraan Liga Malaysia dalam dua musim berturut-turut iaitu pada 2006/2007 dan 2007/2008.

Mukhriz berkata sekiranya Kedah menjuarai Piala Malaysia musim ini, pihaknya mungkin mempertimbangkan untuk membawa para pemain melawat kelab Liga Perdana Inggeris, Cardiff City yang dimiliki ahli perniagaan Malaysia Tan Sri Vincent Tan.

— BERNAMA