Rogol kenalan WeChat, Anggota Tentera menangis

JOHOR BAHRU – Seorang hakim Mahkamah Sesyen di sini semalam meluahkan kekesalan ke atas seorang remaja yang dituduh merogol seorang gadis yang baru dikenalinya dalam tempoh dua hari menerusi aplikasi WeChat di tepi tangga sebuah pangsapuri.

“Kamu baru tiga empat hari berkenalan, kamu sudah lakukan kerja-kerja macam ini, kira macholah kamu?

“Sepatutnya dalam bulan Ramadan dan Syawal, kamu harus berkelakuan mulia, barulah hidup kamu akan berkat, ini tidak. Ibu bapa kamu tahu yang kamu dihadapkan mahkamah, mereka pun tidak hadir ke sini,” kata Hakim Hassan Abdul Ghani dengan sinis kepada tertuduh, Muhammad Amirul Yusman (gambar), 18.

Pekerja landskap itu bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas tuduhan merogol mangsa yang merupakan pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini.

Sementara itu Mahkamah Sesyen di Shah Alam semalam dikejutkan dengan gelagat seorang anggota tentera yang meraung dan menangis ekoran berhadapan tiga pertuduhan iaitu cubaan merogol, melakukan seks oral dan merompak seorang juruteknologi makmal perubatan minggu lalu.

Yasser Shah Shamsuddin, 35, yang berpangkat Prebet mengaku tidak bersalah atas dakwaan cuba merogol wanita berusia 27 tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Tertuduh anggota tentera berpangkat prebet

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun sama memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan sebatan.

Lelaki itu turut didakwa di bawah Seksyen 377 C Kanun Keseksaan berhubung dakwaan melakukan seks oral terhadap mangsa manakala bagi pertuduhan terakhir, Yasser Shah didakwa merompak wanita itu dengan mengambil wang tunai RM120, komputer riba, dua telefon bimbit masing-masing jenama Nokia dan Alcatel sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.- Kosmo!