Real dan Bale menanti detik bersejarah

MADRID – Bintang Tottenham Hotspur (Spurs), Gareth Bale telah bersetuju dengan tawaran kontrak bernilai £97 juta (RM498.7 juta) untuk menyertai Real Madrid.

Kelab gergasi Sepanyol itu dilapor telah bersedia membuat pengumuman rasmi untuk mengikat Bale dengan nilai perpindahan sebanyak £86 juta (RM442.1 juta).

Jumlah itu sekali gus menyaksikan nilai keseluruhan Bale menyertai Real ialah £183 juta (941 juta).

Real juga bersedia membayar gaji sebanyak £310,000 (RM1.59 juta) seminggu buat Bale bagi melengkapkan perpindahannya dari White Hart Lane dan dia akan menyarung jersi No. 11.

Dengan cukai pendapatan sekitar 52 peratus di Sepanyol, Bale bakal mendapat gaji bersih berjumlah £150,000 (RM771,330) seminggu.

Dengan jumlah itu, Bale bakal menerima gaji kedua tertinggi di Santiago Bernabeu setakat ini di belakang kapten Portugal, Cristiano Ronaldo yang masih lagi berusaha meminta pihak pengurusan Real menaikkan lagi gajinya.

Dalam pada itu, pentas juga sudah disiapkan di Santiago Bernabeu bagi memperkenalkan Bale kepada para peminat kelab gergasi Sepanyol tersebut sedikit masa lagi.

Ketika ini, Spurs berusaha keras bagi mendapatkan pengganti Bale selepas mereka terlepas peluang mendapatkan pemain tengah Brazil, Willian apabila pemain itu memilih menyertai Chelsea.

Spurs kemudiannya beralih tumpuan kepada penyerang AS Roma, Erik Lamela dan mereka bersedia mengeluarkan belanja bernilai £25.8 juta (RM132.6 juta).

Spurs juga berhasrat mendapatkan pemain pertahanan Romania dan Steaua Bucharest, Vlad Chiriches dengan nilai £8 juta (RM41.1 juta). – Agensi