Rajagobal tiada alasan jika gagal

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah tidak dapat menerima apa juga alasan daripada ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal sekiranya skuad Harimau Malaya gagal melepasi Kelayakan Piala Asia 2015 yang kembali bersambung 15 Oktober ini.

Titah baginda, layak ke pusingan akhir Piala Asia akan kekal menjadi tanda aras pencapaian skuad kebangsaan kerana peluang sudah banyak diberikan kepada pengurusan pasukan dalam membuat persediaan termasuk menentang tiga kelab Jepun, bulan lalu yang dikecam hebat pelbagai pihak kerana kalah teruk tanpa membalas satu gol pun.

“Pasukan kita tiada pilihan kecuali memenangi sekurang-kurangnya dua perlawanan tempat sendiri (Kumpulan D Kelayakan Piala Asia), menentang Bahrain (15 Oktober) dan Qatar (19 November) untuk layak ke pusingan akhir (di Australia),” tegas Sultan Ahmad dalam titah ucapan pembukaan Kongres Tahunan Ke-49 FAM di sini, semalam.

Skuad Rajagobal ditewaskan Qatar 2-0 (di Doha, 6 Februari lalu) dan mengalahkan Yemen 2-1 (Shah Alam, 22 Mac lalu) untuk mengumpul tiga mata di tangga ketiga Kumpulan D akan menghadapi Bahrain (di Manama, 15 November) dan Yemen (di tempat lawan Mac tahun depan).

Baginda sebaliknya melahirkan rasa puas hati dengan persediaan skuad bawah 23 tahun negara, Harimau Muda A yang diterajui Ong Kim Swee dari 16 Mac hingga 30 Julai lalu di Slovakia bagi misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

“Beta berpuas hati dengan persiapan mereka (di Slovakia) dan mahukan perjuangan mereka diteruskan untuk memenangi pingat emas kali ketiga berturut-turut (selepas Sukan SEA Laos 2009 dan Indonesia 2011),” titahnya.

Sementara itu Sultan Ahmad Shah juga mengingatkan semua pasukan dalam Liga Malaysia supaya memastikan pembayaran gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan cukai pendapatan pemain mereka, dilunaskan tepat pada masanya.

Baginda melahirkan kebimbangan apabila gara-gara ketidakcekapan pengurusan pasukan ini, banyak penaja enggan lagi melaburkan sumbangan mereka dalam pembangunan bola sepak tempatan.