Rajagobal perlu diganti – Karathu

KUALA LUMPUR – Sekali pun jika Datuk K. Rajagobal berjaya membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2015, kontraknya yang akan berakhir pada 31 Disember 2013 tidak sewajarnya disambung.

Jurulatih berpengalaman, Datuk M. Karathu berkata, sudah sampai masanya Harimau Malaya mendapatkan sentuhan jurulatih baharu selepas kontrak Rajagobal berakhir.

Tambah Karathu, yang merupakan bekas pemain negara era 60-an selain pernah mengendalikan beberapa pasukan Liga Malaysia, langkah itu wajar kerana dia menyifatkan ‘tempoh perkhidmatan Rajagobal sudah terlalu lama’.

“Pada pandangan saya, sudah sampai masanya Rajagobal diganti.

“Tempoh tiga hingga empat tahun sudah mencukupi buat seorang jurulatih kerana para pemain memerlukan idea-idea baharu daripada jurulatih berbeza, sampai bila bergantung kepada jurulatih yang sama?.

“Tengoklah kebanyakan jurulatih terkemuka dunia seperti Jose Mourinho, yang memilih tidak lama mengendalikan satu-satu pasukan dan berpindah ke pasukan lain selepas beberapa tahun, ” katanya.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak FAM yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Khamis lalu, Rajagobal masih diberikan ruang untuk meneruskan khidmatnya bersama pasukan kebangsaan ekoran kesuntukan masa mencari pengganti bersesuaian ketika saingan Piala Asia 2015 hanya tinggal dua bulan lagi.

Keputusan yang dicapai oleh FAM itu dianggap satu keputusan bijak oleh Karathu yang melihat sukar untuk mendapatkan pengganti bersesuaian dalam masa terdekat.

“Ya… bukan mudah hendak menukar jurulatih begitu sahaja kerana para pemain pasti sukar untuk menyesuaikan diri dengan teknik latihan dan strategi yang akan dibawa oleh orang baru.

“Lain jurulatih, lain cara mereka bekerja, kelayakan Piala Asia 2015 pun tinggal dua bulan lagi, jadi saya fikir wajar Rajagobal dikekalkan sehingga habis kontrak.

“Satu lagi, jangan lupa soal penebusan kontrak juga pasti memberikan masalah kerana FAM perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak kepada Rajagobal jika dipecat sekarang, ” katanya.

Sementara itu, Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengekalkan khidmat Datuk K.Rajagobal sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya adalah keputusan yang adil, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

“Saya difahamkan FAM akan memberi peluang kepada Rajagobal untuk memenuhi kontrak sehingga hujung tahun ini. Selepas itu, sekiranya beliau tidak menepati Indeks Prestasi Utama (KPI) beliau, maka kontrak itu tidak akan dilanjutkan.

“Kontrak yang dikeluarkan adalah berdasarkan kepada KPI. Jika sekiranya pemegang kontrak itu tidak dapat memenuhi KPInya, tidak wajarlah jika hendak dilanjutkan kontrak tersebut,” kata Khairy mengulas keputusan FAM terhadap Rajagobal.

Keputusan FAM itu diumumkan oleh Timbalan Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM hari Khamis.

Khairy ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa bersama ahli Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini.

Mengenai sama ada FAM perlu melantik ketua jurulatih dari luar negara sekiranya kontrak Rajagobal ditamatkan, Khairy berkata ia bukan persoalan utama.

“Tidak semestinya jurulatih luar negara menjadi pilihan terbaik, sebaliknya saya mahu FAM memilih seorang jurulatih yang terbaik…tidak kiralah sama ada jurulatih itu dari luar negara atau tempatan.

“FAM perlu dapatkan yang terbaik untuk negara kita…yang memahami budaya kita serta mempunyai strategi terbaik untuk meningkatkan kedudukan kita dalam ranking dunia,” katanya.