Raja lepaskan Shahrul, Junior

KUALA LUMPUR – Harimau Muda A mendapat suntikan semangat menjelang Pestabola Merdeka di Kuantan pada 7 hingga 14 September ini apabila pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal membuat pusingan-U dengan membenarkan Junior Eldstal dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim menyertai skuad Ong Kim Swee.

Keputusan itu dicapai selepas Rajagobal yang menemui Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, bersetuju melepaskan kedua-dua pemain itu demi kepentingan negara.

Keputusan memberikan semula kedua-dua pemain tersebut kepada Kim Swee juga disebabkan skuad kebangsaan hanya akan menghadapi satu perlawanan persahabatan berkelas A menentang China di Shanghai 10 September nanti.

Jelas Hamidin, tiada isu yang perlu dibangkitkan ekoran keputusan tersebut dan berharap kedua-dua jurulatih berpuas hati dengan keputusan yang telah dicapai serta kembali fokus kepada tugasan masing-masing.

“Dalam pertemuan dengan saya hari ini (semalam), Rajagobal bersetuju memberikan dua pemain itu kepada Kim Swee untuk menghadapi Pestabola Merdeka kerana Harimau Malaya cuma berdepan satu perlawanan sahaja menentang China di Shanghai pada 10 September depan.

“Rajagobal sedia menggunakan beberapa pemain muda (saingan Liga Super) yang lain sebagai pengganti Junior dan Nik Shahrul, jadi tiada masalah dalam soal ini.

“Keputusan melepaskan kedua-dua pemain tersebut tidak dipaksa oleh sesiapa, ia dibuat secara suka rela oleh Rajagobal demi kepentingan Harimau Muda A pada Pestabola,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Rabu lalu, Kim Swee mendedahkan melalui perbincangan dengan Rajagobal, hanya dua pemain iaitu Junior dan Nik Shahrul akan diserap dalam skuad Harimau Malaya.

Pemain lain seperti Wan Zack Haikal Wan Noor dan Mohd. Fadhli Shas boleh mewakili Malaysia dalam Pestabola dan perkara itu disambut baik olehnya.

Sementara itu, Kim Swee menyambut baik kesediaan Rajagobal melepaskan kedua-dua pemain tersebut.

Dia menyifatkan keputusan itu membolehkannya membuat persiapan sempurna untuk Sukan SEA kerana buat pertama kali dia dapat menggunakan semua pemain terbaik untuk beraksi dalam kejohanan kompetitif.

“Selepas mendapat makluman mengenai perkara ini, saya rasa cukup teruja kerana dapat menggunakan dua pemain ini terutamanya Junior yang belum pernah beraksi bersama Harimau Muda A.

“Inilah peluang terbaik saya mengumpulkan semua pemain terbaik yang saya ada di dalam satu skuad dan melihat sejauh mana kemampuan mereka berdua beraksi dengan pemain lain, ini satu persediaan yang baik sebelum kita ke Sukan SEA, ” katanya.

Hamidin juga memberitahu, skuad kebangsaan Bangladesh yang dalam rangka menghadapi persiapan kejohanan Persekutuan Bola Sepak Piala Asia Selatan (SAFF) akan menguji pasukan Harimau Muda A di Stadium Darul Makmur, 22 Ogos ini pada pukul 5.30 petang.

“Kedatangan mereka di sini sebenarnya mahu menguji pasukan kebangsaan kita namun tarikh yang diminta pada 22 Ogos itu, tetapi tidak boleh kerana Piala Malaysia telah bermula.

“Jadi, FAM bersetuju memberikan ruang ini kepada Harimau Muda untuk menguji mereka dan berharap mereka boleh mengambil kesempatan berkenaan,” katanya.